MIAMI, 24 FEB – Phil Mickelson memohon maaf Selasa lalu atas kenyataan mengenai Jelajah PGA dan jelajah saingan yang dicadangkan, berkata dia ‘memerlukan sedikit masa’ berehat daripada golf.
Pemain berusia 51 tahun itu, pemenang enam kejuaraan utama dan penyandang bertahan gelaran Kejuaraan PGA, juga kehilangan penaja lama KPMG selepas mengeluarkan kenyataan maaf yang panjang di laman sosial Twitter.
Pengarang, Alan Shipnuck mengeluarkan petikan minggu lalu dari bukunya yang akan datang tentang Mickelson, bintang AS yang menggelar Saudi ‘menakutkan’ dengan ‘rekod yang mengerikan mengenai hak asasi manusia’.
“Mengetahui semua ini, mengapa saya akan mempertimbangkannya?” Mickelson berkata tentang potensi untuk menyertai jelajah Saudi.
“Kerana ini merupakan peluang sekali seumur hidup untuk membentuk semula bagaimana Jelajah PGA beroperasi,” katanya.
“Mereka dapat bertahan dengan taktik manipulatif, paksaan, pengaruh yang kuat kerana kami, para pemain, tidak mempunyai jalan lain.”
Mickelson dipetik berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Liga Golf Saudi walaupun terdapat isu hak asasi manusia kerana ia akan memberikan pengaruh untuk mencipta perubahan pada Jelajah PGA.
“Saya menggunakan perkataan yang saya benar-benar kesal yang tidak mencerminkan perasaan atau niat sebenar saya,” kata Mickelson Selasa lalu. “Ia adalah tindakan melulu, saya menyinggung perasaan orang ramai dan saya amat kesal dengan pilihan kata-kata saya”. – AFP