Microsoft, Alaska Airlines bergabung guna bahan api alternatif

WASHINGTON, 23 OKT – Microsoft dan Alaska Airlines mengumumkan penggabungan semalam untuk menggunakan bahan api jet mampan bertujuan menghapus pengeluaran karbon daripada perjalanan kakitangan syarikat teknologi itu.

Di bawah perjanjian itu, Microsoft akan membayar kos bahan api yang dihasilkan daripada sumber mampan, seperti minyak buangan dan sisa pertanian, yang akan membawa kepada pengurangan pengeluaran karbon.

Perjanjian itu membentuk sebahagian daripada inisiatif Microsoft untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2030. Ia menggesa Microsoft supaya membeli kredit untuk bahan api daripada firma tenaga alternatif SkyNRG.

“Kami gembira untuk bergabung dengan Alaska Airlines untuk menjadikan perjalanan udara lebih hijau dengan menggunakan bahan api penerbangan mampan yang dibekalkan oleh SkyNRG untuk mengurangkan impak karbon ke atas penerbangan yang dilakukan oleh kakitangan Microsoft,” kata Judson Althoff, naib presiden eksekutif Perniagaan Komersial Global Microsoft.

“Kami berharap model bahan api penerbangan mampan ini akan digunakan oleh syarikat lain sebagai satu cara untuk mengurangkan kesan alam sekitar ke atas perjalanan perniagaan mereka.”

Perjanjian itu meliputi perjalanan kakitangan Microsoft di antara ibu pejabat Seattle dan lapangan terbang di Teluk San Francisco dan kawasan Los Angeles, jalan paling popular untuk syarikat. Syarikat akan menimbang untuk mengembang program tersebut pada masa akan datang. – AFP