Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Microsoft buka siasatan tentang gangguan seksual

    AMERIKA SYARIKAT, 14 JAN – Microsoft berkata ia telah membuka siasatan tentang cara ia bertindak balas terhadap gangguan seksual di tempat kerja dan diskriminasi jantina, termasuk pengendalian dakwaan mengenai pengasas bersama, Bill Gates kelmarin.

    Kajian semula itu adalah tindak balas kepada tekanan daripada pelabur Microsoft. Hampir 78 peratus pemegang saham pada mesyuarat tahunan syarikat pada 30 November mengundi untuk menuntut lebih akauntabiliti dalam menangani aduan gangguan seksual di tempat kerja.

    “Kami komited bukan sahaja untuk menyemak laporan tetapi belajar daripada penilaian supaya kami boleh terus meningkatkan pengalaman pekerja kami,” kata ketua pegawai eksekutif, Satya Nadella dalam satu kenyataan.

    Wall Street Journal melaporkan tahun lalu bahawa lembaga Microsoft mengupah firma guaman pada 2019 untuk menyiasat Gates selepas seorang jurutera Microsoft mendakwa dalam surat bahawa dia menjalin hubungan seksual dengan Gates selama beberapa tahun. Gates meletak jawatan daripada lembaga syarikat pada tahun 2020.

    Cadangan pelabur aktivis untuk menukar dasar korporat jarang berjaya. Microsoft telah menggesa pemegang saham untuk menolak cadangan itu, yang meminta syarikat tersebut menyiasat dasar gangguannya dan mengeluarkan laporan awam mengenainya.

    Natasha Lamb semasa bercakap dengan wartawan dari AP di Manchester-by-the-Sea, Massachusetts. – AP

    Namun firma pelaburan di sebalik cadangan itu, Arjuna Capital yang berpangkalan di Massachusetts, berkata ia gembira dengan cara syarikat tersebut bertindak balas sejak menang undian.

    “Saya sebenarnya agak kagum dengan cara Microsoft membuat susulan terhadap komitmen mereka sejak mesyuarat tahunan,” kata Natasha Lamb, pengasas bersama dan rakan kongsi pengurusan firma pelaburan yang berfikiran sosial itu.

    Dia berkata dia telah mengadakan perbincangan dengan Microsoft tentang cara penyiasaan itu akan diteruskan. Lembaga memberi kuasa kepada syarikat untuk mengupah firma guaman Arent Fox untuk menjalankan semakan.

    “Kebimbangan kami bukan hanya apa yang berlaku dengan Microsoft pada masa lalu tetapi sama ada tingkah laku itu sedang ditangani dan dikurangkan pada masa hadapan,” katanya dalam temu bual kelmarin. “Pada penghujung hari, dari perspekif pelabur, ini adalah mengenai cara syarikat melayan pekerjanya dan sama ada ia dapat menarik dan mengekalkan bakat.”

    Syarikat yang berpangkalan di Redmond, Washington, berkata laporan awamnya akan merangkumi penilaian keberkesanan dasarnya terhadap gangguan dan diskriminasi. Ia juga akan meringkaskan hasil siasatan terhadap dakwaan gangguan ahli lembaga pengarah dan pemimpin kanan, termasuk pengendalian penyiasatan Gates pada 2019 dan akan menggariskan langkah untuk memastikan pemimpin bertanggungjawab. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...