Microsoft lancar semula Surface Duo

WASHINGTON, 13 OGOS – Microsoft kembali menjual telefon bimbit dengan peranti lipat Android baharu yang didakwanya mampu mengisi jurang dalam perkomputeran telefon pintar.

Syarikat teknologi itu mula menerima tempahan semalam untuk peranti Surface Duo, handset dua skrin bermula pada harga AS$1,399. Microsoft pertama kali mengumumkan peranti tersebut pada Oktober lalu.

“Kami mereka cipta Surface Duo untuk orang yang mahu lebih banyak dilakukan dengan peranti dalam poket mereka,” kata Panos Panay, ketua pegawai produk untuk Windows dan Devices.

“Penyelidikan kami menunjukkan tiga daripada empat orang dilaporkan bergelut untuk menyiapkan tugasan tanpa komputer mereka. Ia disebabkan telefon pintar dengan satu skrin tidak dicipta untuk melakukan pelbagai tugasan dengan mudah secara sekali gus.”

Duo melambang kemasukan baharu dalam peranti untuk Microsoft, yang beberapa tahun sebelumnya menyerah pasaran telefon pintar kepada sistem operasi dari Apple dan Google selepas produk handsetnya sendiri yang menggunakan Windows gagal menerima sambutan.

Peranti baharu dengan paparan lipatan skrin 5.6 inci dibuka sehingga 8.1 inci, akan bersaing dengan handset berlipat lain dari Samsung, Huawei dan firma lain.

Ia berusaha mencari kelainan dari pesaing lain disebabkan keupayaannya beroperasi menggunakan aplikasi dari Microsoft Windows serta dari sistem peranti Android Google. – AFP

Gambar fail bertarikh 2 Oktober 2019 menunjukkan Microsoft Surface Duo dipamerkan di New York. – AP