TOKYO, 8 DIS – Francais permainan video amat popular ‘Call of Duty’ akan disediakan di konsol Nintendo, Switch jika perjanjian pemerolehan pemajunya dimeterai, kata eksekutif Microsoft semalam.
Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu sedang dalam proses untuk membeli pengeluar permainan Activision Blizzard, tetapi pembelian bernilai AS$69 bilion itu masih belum dimuktamadkan sementara ia diperiksa oleh pihak berkuasa antipersaingan.
“Microsoft komited untuk membawa lebih banyak permainan kepada lebih ramai orang – dengan pemain boleh memilih cara permainan mereka,” kata Ketua Xbox, Phil Spencer, dalam apa yang dianggap penganalisis sebagai percubaan untuk menunjukkan bahawa persaingan tidak akan terjejas oleh perjanjian pemerolehan itu.
‘Call of Duty’ adalah francais berjaya dengan ramai pemain yang bermain di konsol Xbox Microsoft atau PlayStation Sony.
Permainan itu juga didapati di komputer dan telefon bimbit, serta konsol lebih lama Nintendo, Wii dan DS.
Spencer berkata Microsoft telah mencapai komitmen 10 tahun untuk membawa ‘Call of Duty’ kepada Nintendo susulan gabungan Microsoft dan Activision Blizzard King.
Judul baharu dalam siri itu juga akan terus dijual di Steam, platform untuk memuat turun permainan, sebaik sahaja ia dikeluarkan di Xbox ‘selepas kami mencapai penggabungan,’ tambah beliau.
Serkan Toto dari agensi pakar runding Kantan Games, memberitahu AFP masa pengumuman ‘jelasnya satu kempen publisiti’ yang dikaitkan dengan rundingan berterusan berhubungan pembelian Activision.’ – AFP