Microsoft perkenal Xbox Series X

LOS ANGElES, 13 DIS – Microsoft telah memperkenalkan nama dan wajah untuk konsol permainan baharunya, Xbox Series X, menjanjikan lebih banyak pengalaman alam maya ketika ia menangkis ancaman daripada pesaing penstriman Sony.

Syarikat Amerika Syarikat (AS) pada bulan Jun menunjukkan kehebatan teknikal konsol generasi akan datang apabila mereka mengumumkan ‘Projek Scarlett’, berkata mesin terbaharu tersebut adalah empat kali lebih kuat daripada Xbox One X sekarang, yang dilancarkan pada 2013.

Pada penyampaian anugerah The Games Awards 2019 lewat semalam, Microsoft menunjukkan konsol baharu mereka berbentuk menara untuk kali pertama berserta alat kawalan tanpa wayar yang baharu.

Ia mengatakan judul permainan yang lama masih tetap dapat dimainkan di konsol Series X, sementara juga menjanjikan pengalaman permainan baru ‘di mana dunia adalah lebih realistik, responsif dan mengejutkan.’

Harga bagi konsol baharu ini belum lagi diumumkan, namun tarikh pengeluaran disahkan pada musim cuti Krismas pada tahun hadapan, apabila konsol Sony PlayStation 5 dijadual dilancarkan.

PlayStation 4 sekarang telah mendahului jualan Xbox dalam kadar dua berbanding satu, namun pihak Microsoft berharap untuk mengembalikan persaingan kepada Sony, yang masih belum memberitahu sebarang butiran teknikal untuk konsol baharunya sendiri.

Bagaimanapun konsol menghadapi ancaman berpotensi daripada permainan pengkomputeran awan. – AFP