Miera mahu tinggalkan dunia lakonan?

Agak lama tidak menghiasi kaca televisyen dan layar lebar bukan bermakna pelakon tinggi lampai, Miera Leyana, 27, mahu meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya sibuk menguruskan perniagaan keluarga.

Bintang drama Memori Cinta Suraya itu berkata, dia masih menerima banyak tawaran lakonan, bagaimanapun terpaksa ditolak berikutan masih mempelajari selok belok dunia perniagaan. Lagipun, banyak skrip dan karakter yang diterima tidak bersesuaian.

“Kali terakhir saya berlakon menerusi teater muzikal Hantu Kak Limah yang dipentaskan di Movie Animation Park Studio (MAPS), Ipoh, tahun lalu. Saya terima banyak tawaran lakonan, tetapi sebelum itu, saya akan melihat pengarah, barisan pelakon dan skrip terlebih dahulu.

“Saya berlakon pada usia muda. Pada usia 15 tahun saya sudah bergelar pelakon. Jadi, saya berlakon bukan mengejar populariti, tetapi kerana minat.

“Banyak pengalaman yang dikutip dan watak sudah pun saya jayakan sepanjang lebih sedekad dalam bidang lakonan. Mungkin sudah tiba masa untuk saya berundur sedikit demi sedikit dari dunia lakonan,” katanya kepada media.

Pelakon jelita yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem), Anugerah Skrin TV3 pada tahun 2013 itu berkata, dia enggan menyesal kerana tidak dapat mencuba sesuatu yang baharu.

Alasan itu, katanya, membulatkan tekad untuk berundur secara perlahan-lahan daripada dunia seni. Hasrat hati untuk bergelar seorang peguam sudah pun lebur disebabkan terlalu asyik dengan dunia lakonan. Oleh itu, dirinya tidak mahu mengulang penyesalan yang sama.

“Saya semakin selesa menguruskan perniagaan keluarga. Saya agak beruntung apabila keluarga sudah mempunyai perniagaan, saya pula hanya menyambung legasi mereka. Bagaimanapun, saya masih muda dan tak mahu terlepas peluang mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup. – Agensi

Miera masih menerima banyak tawaran lakonan, bagaimanapun terpaksa ditolak berikutan masih mempelajari selok belok dunia perniagaan. – Agensi