MIKI bincang cabaran industri kewangan Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah menganjurkan Muzakarah Ilmuan Kewangan Islam (MIKI) secara dalam talian yang bertemakan COVID 19: Implications for Brunei’s Islamic Finance Industry.

Forum berkenaan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 100 peserta menghadirinya terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari AMBD, institusi-institusi kewangan tempatan dan antarabangsa, pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi dari institusi-institusi pengajian tinggi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CIBFM, perbincangan panel muzakarah tersebut dipengerusikan oleh Penolong Pensyarah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Amni Suhailah binti Abrahan manakala itu, ahli-ahli panel terdiri daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Profesor Dato Dr Azmi bin Omar; Penolong Pengarah Eksekutif AMBD, Dayangku Sri Joedianna binti Pengiran Haji Mohammed; Ketua Pegawai Pemasaran, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dan Pengurus Am, Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Haji Shamsul bin Haji Muhamad.

Antara topik yang telah dibincangkan secara mendalam semasa forum tersebut termasuk kesan pandemik COVID-19 kepada pelan dan strategi institusi-institusi kewangan Islam, kepentingan kepimpinan dalam mena- ngani krisis, perubahan cara bekerja dan peningkatan dalam penggunaan teknologi kewangan.

MIKI merupakan sebuah platform CIBFM bagi para pegawai-pegawai dan pengurus-pengurus bank Islam, penasihat syariah, ahli akademik, pengawal selia dan pakar-pakar lain untuk berkongsi maklumat, buah fikiran dan kepakaran mengenai isu-isu semasa serta cabaran-cabaran dalam industri kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

Muzakarah Ilmuan Kewangan Islam (MIKI) bertemakan COVID 19: Implications for Brunei’s Islamic Finance Industry yang diadakan secara dalam talian.