Mikrocip kecil simpan rekod vaksinasi COVID-19

STOCKHOLM, 23 DIS – Sebuah syarikat di Sweden, DSruptive Subdermals, mencipta mikrocip bersaiz sebutir beras bagi menyimpan data vaksinasi COVID-19, yang boleh ditanam dalam kulit manusia.

Menurut laporan portal berita News18, cip pelbagai fungsi yang ditanam di lengan itu juga boleh menyimpan data pasport dan digunakan untuk membuat pembayaran tanpa tunai.

Kira-kira 6,000 orang di Sweden sudah menerima suntikan cip berkenaan pada lengan tangan masing-masing dan terbukti memudahkan urusan harian mereka.

Cip terbabit menggunakan protokol komunikasi medan dekat (NFC) dan memindahkan data melalui gelombang elektromagnet.

Menurut ketua pegawai pengedaran DSruptive Subdermals, Hannes Sjoblad, implan adalah teknologi serba boleh yang mampu digunakan untuk pelbagai perkara.

Katanya, ketika ini ia dengan mudah menyimpan rekod vaksinasi COVID-19 yang sentiasa boleh diakses pada implan seseorang.

“Implan cip ini berharga 100 euro bagi model yang canggih, masih murah jika dibandingkan dengan peranti kesihatan lain yang mungkin dua kali ganda harganya.

“Tambahan pula cip ini boleh digunakan sehingga 40 tahun berbanding peranti lain yang mungkin jangka hayatnya hanya antara tiga hingga empat tahun,” katanya.

“Secara asasnya ia menggantikan banyak alatan yang anda miliki termasuk peranti komunikasi lain, sama ada diguna untuk kad kredit atau sebagai kunci,” katanya. – AFP/Agensi

Mikrocip bersaiz sebutir beras bagi menyimpan pelbagai data yang boleh ditanam dalam kulit manusia. – AFP