Mila risau nasib pekerja

Andai tidak kuat, tentu sahaja usahawan yang juga seorang penyanyi, Mila Jirin (gambar bawah), 33, rebah dengan ujian yang menimpa perniagaannya berikutan penularan wabak COVID-19.

Tujuh tahun mengusahakan perniagaan dewan perkahwinan dan katering, Bizmilla Wedding Centre, juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu tidak pernah membayangkan melalui detik sukar apabila perniagaan yang diusahakan dengan hasil titik peluh bersama suami, Isz Mustapha berada dalam ambang bahaya hanya disebabkan virus COVID-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Mila berkata, dia tidak bersedia dengan situasi yang berlaku dan tak terfikir langsung menyediakan pelan perancangan perniagaan akibat wabak COVID-19.

“Awalnya, saya tak kuat, hilang semangat, sedih dan tertekan. Namun, saya bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa memandang positif setiap apa yang berlaku.

“Saya runsing memikirkan nasib pekerja hampir 100 orang. Saya faham mereka memiliki anak, isteri dan keluarga yang perlu ditanggung. Jika boleh, saya tidak mahu mereka menerima nasib yang sama seperti pekerja lain yang tidak dibayar gaji, dibuang kerja atau hanya menerima separuh gaji.

“Saya tak boleh tidur nyenyak saban malam memikirkan bagaimana mahu mempertahankan syarikat dan pekerja. Saya tak mahu melepaskan mereka kerana ada antaranya yang sudah lima tahun bekerja dan susah senang bersama saya,” katanya kepada media.

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin berkata, hampir 90 peratus pekerja pulang ke kampung halaman dalam tempoh PKP dilaksanakan.

“Saya dan pihak pengurusan buntu apabila tidak boleh menggerakkan pelan perniagaan yang baharu kerana ketiadaan pekerja. Kini, saya sudah menyediakan pelan aliran tunai syarikat dalam tempoh enam bulan.

“Bagaimanapun, jika pekerja tak memainkan peranan, kos aliran tunai berisiko nazak dan syarikat juga tak mampu menampung kos operasi termasuklah sewa premis serta membayar gaji pekerja yang menelan RM500,000 sebulan.

“Alhamdulillah, apabila saya ceritakan kedudukan syarikat yang sebenar, pekerja faham dan mula tampil dengan pelbagai idea,” katanya.

Gara-gara masih samar kedudukan perniagaan perkahwinan, Mila berkata, dia kini memulakan perniagaan baharu dalam pembuatan kek dan pastri.

Katanya, dia perlu tampil dengan idea perniagaan baharu yang mempunyai kaitan dengan perniagaan demi kelangsungan syarikat dan nasib pekerja.

“Saya langsung tidak memikirkan soal keuntungan kerana apa yang lebih penting, nasib pekerja saya terbela.

“Saya tahu ada yang mengkritik apabila saya mengumumkan mengenai perniagaan baharu dalam pembuatan kek dan pastri. Tak mengapalah, saya maafkan warganet.

“Mungkin mereka tidak berada pada kedudukan saya, jadi mereka bebas untuk mengeluarkan kata tanpa memikirkannya.” – Agensi