Milan dibelasah, kekal kedudukan teratas

MILAN, 24 JAN – AC Milan kekal di puncak Serie A walaupun tewas 3-0 di halaman sendiri menentang Atalanta selepas pencabar terdekat mereka, Inter terikat seri tanpa jaringan di Udinese kelmarin.

Pasukan bimbingan Stefano Pioli, kini hanya dua mata di depan Inter namun mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga pada pertengahan musim buat kali pertama sejak menjuarai liga itu pada 2011.

“Menjadi juara musim sejuk tidak bermakna bagi saya, kini kami perlu bangkit,” kata bintang Milan, Zlatan Ibrahimovic.

“Sekarang fasa lebih sukar bermula.”

Milan tidak mempamerkan aksi yang baik di halaman sendiri dengan pemain Atalanta, Cristian Romero menanduk masuk untuk jaringan gol pendahuluan pada minit ke-26 di San Siro. Josip Ilicic menambah jaringan kedua menerusi sepakan penalti lapan minit selepas rehat apabila beliau dikasari oleh Franck Kessie di kawasan petak penalti. Ibrahimovic terlepas peluang merapatkan kedudukan sejurus sebelum rehat namun percubaan jarak dekat pemain veteran Sweden itu tersasar. Pemain baharu Milan, Mario Mandzukic dimasukkan pada 20 minit terakhir namun gagal menembusi gawang pelawat walaupun beberapa kali mengancam penjaga gol Atalanta, Pierluigi Gollini.

Penyerang Colombia, Duvan Zapata mengesahkan tiga mata pelawat ketika perlawanan berbaki 15 minit selepas cemerlang menyudahkan hantaran Romero. Buat kali pertama musim ini, Milan gagal menjaringkan gol selain kekalahan kedua dalam kempen selepas tewas kepada Juventus awal bulan ini. – AFP

Reaksi penyerang Atalanta, Duvan Zapata ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan Serie A menentang AC Milan semalam di stadium San Siro. – AFP