Milan melonjak tangga teratas

MILAN, 2 DIS – Dua gol jaringan Lautaro Martinez melonjak Inter Milan ke puncak Serie A dengan kemenangan 2-1 ke atas SPAL selepas juara bertahan Juventus diikat di laman sendiri oleh Sassuolo.

“Kami tidak menggunakan kepala kami,” kata pengendali Juventus Maurizio Sarri selepas anak buahnya tercicir mata pertama di laman sendiri musim ini.

Cristiano Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti untuk keputusan 2-2 tetapi Juventus tercicir satu mata di belakang Inter kendalian Antonio Conte.

Pemain Argentina Martinez meletakkan Inter di depan pada minit ke-16 di San Siro, dan kemudian menanduk masuk hantaran lintang Antonio Candreva untuk gol liga kelapannya musim ini.

Mattia Valoti merapatkan jurang, tetapi tidak cukup untuk mengelak SPAL yang menduduki tangga kedua tercorot daripada merakam kekalahan kesembilan pada kempen kali ini.

Lautaro Martinez mengawal bola semasa perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan dan SPAL di stadium San Siro, Milan. – AFP

Conte membimbing Inter memenangi 12 daripada 14 perlawanan liga buat pertama kali, dan mereka merampas kembali tangga teratas yang kali terakhir dihuni sebelum kekalahan 2-1 kepada Juventus pada 6 Oktober.

“Apabila pasukan seperti Juventus tercicir mata, anda perlu memastikan peluang itu dimanfaatkan,” kata Conte yang juga pernah mengendali Juve.

Lazio kekal di tangga ketiga – tujuh mata di belakang Inter – dengan kemenangan 3-0 ke atas Udinese hasil dua gol jaringan peledak terbanyak Serie A Ciro Immobile, termasuk satu sepakan penalti, untuk menjadikan 17 gol dijaringkan setakat ini, serta satu sepakan penalti Luis Alberto.

Roma melonjak ke tangga keempat, dua mata di belakang Lazio, selepas kemenangan 3-1 di Verona.

AC Milan yang bergelut di tangga ke-11, meraih kemenangan pertama dalam tempoh sebulan, 1-0 di Parma. – AFP