Milan terselamat daripada kekalahan

MILAN, 4 MAC – Franck Kessie menjaringkan gol pada minit ke-97 menerusi sepakan penalti untuk menyelamatkan pasukan, meraih satu mata dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1 di laman sendiri menentang Udinese kelmarin, sekali gus memberikan peluang kepada pendahulu Serie A, Inter Milan untuk berada enam mata mendahului liga.

Tandukan pada separuh masa kedua melalui Rodrigo Becao di San Siro berjaya memperdaya penjaga gawang Milan, Gianluigi Donnarumma dan pasukan Stefano Poli yang terkapai-kapai dilihat akan menamatkan perlawanan dengan kekalahan ketiga daripada empat perlawanan.

Tetapi insiden bola terkena tangan daripada pemain gantian Udinese, Jens Stryger Larson memberikan Milan talian hayat, dengan pemain antarabangsa Ivory Coast, Kessie menyempurnakan sepakan penalti dengan sepakan terakhir perlawanan.

“Sepakan penalti bukan mudah,” Kessie memberitahu penyiar DAZN.

“Apabila anda berdiri di sana, anda mempunyai dua pilihan iaitu anda mesti tidak berasa gementar atau kurang yakin, kalau tidak anda pasti gagal menyempurnakannya.

“Saya tidak gementar dan saya menjaringkan gol.”

Milan bergelut untuk mencipta peluang sebenar dengan ketiadaan penjaring terbanyak Zlatan Ibrahimovic, pemain Sweden itu diketepikan kerana kecederaan groin selepas kemenangan menentang Roma hujung minggu lalu. – AFP

Aksi Kessie menyempurnakan sepakan penalti buat Milan ketika menentang Udinese, kelmarin. – AP