Miliki bahan toksik, lelaki Tunisia ditahan

FRANKFURT AM MAIN, 13 Jun – Polis Jerman telah menahan lelaki Tunisia selepas menjumpai ‘bahan toksik’ di kediamannya di Cologne, menurut pegawai hari ini dan pihak pendakwa tidak menafikan terdapatnya motif keganasan.

Lelaki itu ditahan malam kelmarin selepas para pegawai menyerbu kediamannya dan menjumpai ‘bahan yang tidak diketahui’ yang pada masa ini dianalisis oleh pakar, menurut kenyataan polis Cologne.

Isteri suspek juga dibawa untuk disoal siasat tetapi dipercayai telah dibebaskan.

“Kami memutuskan untuk melakukan tindakan cepat untuk mengelak daripada berlakunya kemungkinan bahaya,” beritahu jurucakap polis, Andre Fassbender kepada agensi berita DPA.

Lelaki Tunisia berusia 29 tahun itu menjadi suspek kerana memiliki bahan toksik, menurut polis.

Pegawai polis termasuk skuad khas memakai pakaian perlindungan keluar dari bangunan susulan penahanan lelaki Tunisia yang memiliki bahan toksik di kediamannya. – AFP

Pihak pendakwa persekutuan telah memulakan siasatan ke atas lelaki Tunisia itu kerana disyaki sedang membuat persediaan untuk tindakan keganasan serius ke atas negara itu.

Jurucakap pejabat pendakwa raya persekutuan yang menguruskan kes-kes yang berkaitan dengan keganasan di Jerman memberitahu AFP bahawa mereka tidak menyiasat isterinya.

Menurut siaran NTV, wanita warga-negara Jerman itu baru-baru ini telah memeluk Islam. Dikatakan wanita itu sedang mengandung.

Para pegawai polis termasuk skuad khas berada di kediaman pasangan itu di tingkat satu hari ini.

Pakar kimia dengan pakaian terlindung juga kelihatan mengeluarkan beg plastik dari tempat kejadian. – AFP