Miliki barang tegahan, lelaki ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seorang individu warga tempatan berumur 53 tahun telah ditahan atas kesalahan memiliki barang tegahan semasa serbuan mengejut di kediaman suspek di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Jalan Teripas Panaga Seria.

Semasa serbuan itu, sebanyak tujuh karton dan 20 bungkus rokok pelbagai jenama juga telah dirampas, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Kenyataan menyatakan bahawa tahanan serta barang bukti dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Menurut kenyataan, serbuan mengejut itu dijalankan menerusi kerjasama keanggotaan dari balai-balai di Daerah Polis Belait dan JKED.

PPDB bersama agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain menegaskan kepada orang ramai untuk memainkan peranan penting dan tidak camah mata dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak berkuasa agar jenayah dapat ditangani sehingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.