Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Mahkamah Majistret, kelmarin, telah memerintahkan tiga lelaki Bangladesh membayar denda kerana memiliki rokok seludup di kuarters kerja mereka, dengan tujuan untuk dijual.
Ebrahim, 34, diperintahkan untuk menyelesaikan denda sebanyak $26,000, atau penjara 24 bulan jika gagal membayar, kerana memiliki 24 karton dan lapan paket rokok, serta sembilan botol minuman keras.
Mohammad Shohel yang berusia 43 tahun pula diperintahkan untuk menyelesaikan denda sebanyak $15,200, atau menjalani hukuman penjara 13 bulan jika gagal membayar, kerana memiliki 19 karton rokok.
Sementara itu, Shakim Uddin, 46 tahun, diperintahkan untuk membayar denda berjumlah $8,196 atau menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar, kerana memiliki sembilan karton dan sembilan paket rokok.
Majistret Mohd Syafiq bin Haji Zakaria dimaklumkan bahawa defendan-defendan telah ditangkap oleh pegawai pencegahan kastam setelah mendapati mereka menyimpan barang tegahan di kuarters mereka, bersama-sama wang tunai berjumlah $2,012 hasil daripada penjualan haram rokok tersebut.
Pendakwa raya kastam menambah, pemeriksaan dilakukan di kuarters kerja mereka di Kampung Beribi pada 12 Julai pukul 7:15 malam.
Majistret juga mengarahkan agar rokok dan minuman keras yang dirampas itu supaya dimusnahkan.