Miliki senjata, penjara lebih 6 tahun, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seorang lelaki yang membawa senapang buatan sendiri di dalam keretanya dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan serta tiga sebatan setelah gagal membuktikan ketidakbersalahannya dalam perbicaraan.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail mendapati bahawa bukti yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman terhadap kes tersebut telah membuktikannya di luar keraguan munasabah mahkamah.

Menurut fakta kes, Michells Jackson anak Awil ditahan oleh anggota Biro Kawalan Narkotik pada 9:25 pagi 11 Mei 2019, di Bengkuru, Kampung Kuala Ungar.

Pegawai narkotik mengesyaki terdapat kegiatan dadah yang dijalankan di alamat itu dan menyerbunya pada hari tersebut.

Namun, mereka tidak menjumpai bukti yang berkaitan dengan kegiatan dadah tetapi menemui beg plastik hitam yang mengandungi batang logam dan pangkal senjata dengan botol plastik hijau yang mengandungi pelet plumbum.

Mahkamah mendapati bahawa apa pun alasan tertuduh menyimpan senjata itu, fakta yang terbukti adalah dia memiliki senjata tanpa lesen.

Semasa penangkapan, tertuduh mendakwa bahawa senapang buatan sendiri tersebut adalah senjata untuk menakut-nakutkan monyet dan pada perbicaraan, bukti menunjukkan bahawa dia menyembunyikan senjata berkenaan untuk mendiang rakannya.