Militan Al-Shabaab tawan hotel terkenal di Somalia

MOGADISHU, 17 OGOS – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh antaranya 10 orang awam dan seorang anggota polis terbunuh dalam serangan senjata dan bom oleh pejuang Al-Shabaab di sebuah hotel tepi pantai di ibu kota Somalia hari ini, seorang pegawai memberitahu AFP.

Mereka menyerang sebuah hotel baharu yang popular di kalangan anak muda Mogadishu, kata Kolonel Ahmed Aden, seorang pegawai polis.

Pasukan keselamatan mengambil masa empat jam untuk menguasai semula Hotel Elite di kawasan pantai Lido di Mogadishu setelah lima penyerang menyerbunya pada awal pagi kelmarin, kata jurucakap kementerian informasi, Ismael Mukhtaar Omar.

“Sepuluh orang terbunuh dan lima militan juga terbunuh serta seorang polis khas Somalia,” kata Omar kepada AFP. Tidak jelas bagaimana pasukan keselamatan Somalia berjaya mengakhiri pengepungan di hotel dan membunuh penyerang, yang pada satu ketika dikatakan telah menawan tebusan.

Ketika pengepungan masih berlangsung, sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa salah seorang penyerang telah mati dalam letupan bom kereta yang melancarkan serangan itu dan dua yang lain telah mati dalam insiden tembak-menembak.

Ambulans berada di tempat kejadian melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 28 orang cedera. – AFP

Kakitangan perubatan membawa seorang wanita yang cedera ke hospital Madina di Mogadishu, berikutan serangan senjata dan bom oleh militan Al-Shabaab di sebuah hotel tepi pantai di ibu kota Somalia. – AFP