Militan Daesh mengaku serang gereja

MANILA, 28 Jan – Militan Daesh yang mengaku mengebom sebuah katedral Katolik di selatan Filipina, di mana 20 orang terbunuh telah memberikan tekanan baharu ke atas proses rundingan damai bagi menamatkan keganasan puak pemisah.

Letupan berkembar di pulau Jolo yang majoriti penduduknya beragama Islam itu meranapkan katedral, memusnahkan bangku-bangku dan tingkap serta meragut nyawa orang ramai yang menghadiri Missa Minggu dalam salah satu serangan paling buruk di pulau itu.

Pakar hari ini menyatakan kebimbangan mengenai kesan serangan ke atas rundingan damai yang memuncak minggu lalu dengan pungutan suara bagi meluluskan pemerintahan autonomi Islam di selatan.

Pungutan suara itu adalah hasil rundingan yang bermula pada 1990an dengan kumpulan pemberontak terbesar negara, Pasukan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi memberikan kuasa besar ke atas wilayah yang dipanggil Bangsamoro. – AFP