MANILA, 12 April – Militan Islam yang mendarat di pulau pelancongan Filipina mencetuskan pertempuran maut dengan pasukan keselamatan telah merancang untuk mengadakan penculikan besar-besaran, kata pihak tentera hari ini ketika ia memburu lima pejuang yang masih lagi melarikan diri.
Tentera berkata kumpulan Abu Sayyaf, terkenal dengan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan telah menyasarkan warga asing, merancang untuk menculik puluhan pelancong sekitar sambutan Easter pada Ahad apabila pusat pelancongan itu dipenuhi.
Sekumpulan 11 lelaki bersenjata menaiki bot mendarat di Bohol – salah satu tempat pelancongan di negara itu – mencetuskan pertempuran senjata dengan pasukan keselamatan kelmarin yang mengakibatkan enam pemberontak maut dan juga membunuh tiga askar dan seorang anggota polis.
Lima lelaki bersenjata Abu Sayyaf, bersama beberapa rakan subahat tempatan, masih lagi bebas selepas pertempuran berlaku di daerah luar bandar, kata ketua turus tentera, Jeneral Eduardo Ano.
Ano berkata geng berkenaan, yang tiba dalam tiga buah bot, telah merancang untuk menyesuaikan diri di kawasan itu dan menghantar peninjau ke kawasan pelancongan untuk menculik sasaran.

“Mereka menjangkakan untuk menculik empat atau lima orang dalam satu bot, oleh itu kira-kira 10 hingga 12 mangsa culik yang keseluruhannya mereka rancang,” katanya.
Abu Sayyaf telah melancarkan serangan dari kubu kuat terpencil mereka ke atas pulau Jolo, selatan Filipina, yang terletak kira-kira 500km jauhnya dari Bohol.
Pulau itu hanya setengah jam jauhnya dari Cebu jika menggunakan perjalanan bot.
Agensi-agensi perisikan Filipina mendapat maklumat mengenai rancangan itu minggu lepas dan memberi amaran mengenainya kepada agensi-agensi rakan sejawatan asing dan pihak tentera, bagaimanapun pihak berkuasa hilang jejak lelaki bersenjata di laut terbuka.
Kerajaan AS dan Australia kemudian memberi amaran rakyatnya mengenai kemungkinan penculikan ‘pengganas’ di Bohol dan Cebu.
Ano berkata lima lagi pejuang masih bebas selepas kepungan semalam berhampiran kampung terpencil.
Menurut pegawai, helikopter penggempur digunakan untuk mengebom militan, yang membalas balik dengan raifal penembak hendap canggih dengan bersembunyi di rumah konkrit.
Ano berkata kalangan mereka yang terkorban itu adalah ketua Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Abu Rahmi, satu dakwaan yang belum dapat disahkan. – AFP