Militan serang penjara, 158 banduan larikan diri

KIDAPAWAN, 4 Jan – Lebih 150 banduan di penjara selatan Filipina melarikan diri selepas kumpulan pemisah Islam menyerbu pusat berkenaan dalam serangan sebelum subuh hari ini, membunuh seorang pengawal, kata pihak berkuasa.

Enam banduan telah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak polis dan tentera yang mengejar mereka manakala lapan yang lain berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke penjara itu, kata jurucakap bagi Biro Pengurusan Penjara dan Penologi, Senior Inspektor Xavier Solda.

Beliau berkata, lebih 100 lelaki bersenjata dipercayai diketuai komander pemisah Islam tempatan yang lengkap bersenjata muncul dari sebuah hutan dan menyerang penjara Daerah Cotabato Utara di Kidapawan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan, tatkala keadaan masih gelap.

Bandar raya Kidapawan dalam Wilayah Cotabato terletak kira-kira 930 km ke tenggara Manila.

“Setahu saya, ini adalah kejadian lari dari penjara yang terbesar dalam sejarah biro ini,” kata Solda dalam temu ramah menerusi telefon.

Antara banduan yang masih berada dalam sel mereka di Penjara Daerah Utara Cotabato di bandaraya Kidapawan, selepas insiden serangan membebaskan banduan awal pagi kelmarin. – AP
Antara banduan yang masih berada dalam sel mereka di Penjara Daerah Utara Cotabato di bandaraya Kidapawan, selepas insiden serangan membebaskan banduan awal pagi kelmarin. – AP
Anggota-anggota polis meronda di luar tembok Penjara Daerah Cotabato Utara, di Bandar raya Kidapawan, selatan Filipina selepas kejadian banduan lari secara besar-besaran awal pagi kelmarin. - AP
Anggota-anggota polis meronda di luar tembok Penjara Daerah Cotabato Utara, di Bandar raya Kidapawan, selatan Filipina selepas kejadian banduan lari secara besar-besaran awal pagi kelmarin. – AP

Pemangku Warden Penjara Wilayah, Supt. Peter John Bonggat Jr. berkata, seorang daripada 20 pengawal penjara yang bertugas terkorban dan seorang banduan cedera semasa pertempuran awal.

Bonggat dan Ketua Polis Kipadawan, Supt. Leo Ajero berkata, pertempuran berlaku selama dua jam selepas serangan itu apabila pasukan polis dan tentera, termasuk kereta kebal memburu kawasan hutan berhampiran untuk mencari banduan-banduan yang melarikan diri serta kumpulan lelaki bersenjata yang membebaskan mereka.

Bonggat berkata, penyerang dipercayai serpihan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), pertubuhan pemisah terbesar negara itu yang mengadakan rundingan damai dengan kerajaan.

Sekurang-kurangnya 158 banduan melarikan diri, kata Bonggat, walaupun tidak jelas berapa ramai yang ada kaitan dengan penyerang atau sekadar mengambil kesempatan di atas kekecohan itu.

“Banduan mengambil kesempatan, menggunakan tilam yang disusun untuk melarikan diri,” katanya.

Bonggat berkata, penjara itu yang menempatkan 1,511 banduan, kekurangan pengawal dan bekas bangunan sekolah usang terletak di kawasan hutan yang terpencil. Antara banduan yang ditahan termasuklah anggota-anggota kumpulan Bangsamoro yang menghadapi tuduhan bunuh atas siri serangan bom di wilayah berkenaan. Ini merupakan kali ketiga kejadian serangan ke atas kemudahan penjara wilayah itu sejak 2007. – AP