KUALA LUMPUR – Pelakon dan model kelahiran Malaysia yang melebarkan sayap di Indonesia, Miller Khan, mengaku selesa bekerjasama dengan Neelofa yang juga pemilik empayar tudung, Naelofar Hijab.
Diundang menjayakan penggambaran kempen terbaru koleksi tudung Naelofar sempena Aidilfitri, Miller yang pernah membintangi filem Sepet pada 2005 memberitahu mereka banyak ketawa di set.
“Kami tidak berdepan masalah ketika penggambaran kerana baik saya mahu pun Neelofa, masing-masing profesional. Malah, kami banyak ketawa di lokasi penggambaran. Saya senang dengan komitmen Neelofa,” katanya yang mengaku baru sedar populariti bintang jelita itu ketika menyudahkan penggambaran kempen raya berkenaan.
Kempen Syawal yang dikenali melalui tanda pagar NH True Love itu menyaksikan Neelofa dan Miller ditampilkan sebagai pasangan kekasih.
Miller berkata, dia menghabiskan penggambaran kempen raya terbabit selama tiga hari.

“Semuanya bermula selepas pengurusan Neelofa menawarkan peluang ini. Selepas persetujuan dan kata sepakat diperoleh, saya datang ke Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Neelofa menerusi Instagram berkongsi rasa teruja melihat hasil kempen Aidilfitri yang dijayakannya bersama Miller.
“Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam projek kempen raya ini. Kepada yang memberikan saya ilham untuk menghasilkan kisah ini, sekali lagi saya ucapkan terima kasih.Saya tak sabar tengok hasilnya. Saya harap anda semua akan suka bagaimana saya menyukainya,” katanya.