TOKYO, 1 SEPT – Kemunculan acara badminton buat pertama kalinya di Sukan Paralimpik yang bermula hari ini dianggap sebagai ‘mimpi menjadi kenyataan’ oleh para pemain setelah penantian 29 tahun.
Badminton pertama kali dimainkan di Sukan Olimpik di Barcelona pada tahun 1992 dan kini 90 pemain akan bertarung merebut pingat dalam 14 acara yang berlangsung selama lima hari di Stadium Nasional Yoyogi Tokyo dalam kejohanan Sukan Paralimpik.
“Sudah lama, sangat lama, 14 tahun bagi saya,” kata pemain Britain berusia 30 tahun, Krysten Coombs, yang telah terlibat sejak awal sukan itu.
“Saya berada di kejohanan pertama pada tahun 2008 yang mempunyai susuk badan pendek,” tambah pemain nombor lima dunia kategori SH6.
“Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan dan saya tidak sabar untuk memulakannya.”

Penghormatan bagi kemenangan perlawanan pertama dalam sejarah Paralimpik diberikan kepada pemain pilihan nombor tiga Jerman, Valeska Knoblauch, yang berjaya menewaskan rakan senegaranya, Elke Rongen 21-7, 21-8 dalam kategori WH1 wanita.
“Rasanya sangat mengagumkan,” kata Knoblauch, yang juga akan turun sebagai pemain badminton pertama di Paralimpik.
“Saya sangat gementar. Ia sangat berbeza dengan kejohanan lain.”
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa akhirnya mengiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai organisasi sukan para pada tahun 2015 dan memilihnya untuk dimasukkan ke Sukan Olimpik di Tokyo, empat tahun setelah BWF menyatukan acara badminton ke dalam strukturnya.
“Ia adalah perjalanan yang panjang,” kata setiausaha agung BWF, Thomas Lund kepada AFP sejurus perlawanan pertama berakhir. – AFP