Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Mimpi ngeri’ buat PSG

    BARCELONA, 9 Mac – Jurulatih PSG, Unai Emery bergelut untuk ‘survival’ selepas pasukannya dibelasah 6-1 oleh Barcelona dalam Liga Juara-Juara, dengan menganggapnya satu ‘mimpi ngeri’ dan ‘memalukan’.

    Warga Sepanyol itu telah disanjung sebagai genius taktikal bulan lepas apabila pasukan juara Perancis itu mengejutkan Barca 4-0 di Paris dalam perlawanan pertama peringkat 16 pasukan terakhir.

    Tetapi awal pagi tadi, di depan hampir 100,000 penyokong di Nou Camp, PSG dibolosi dengan tiga gol lewat dalam tempoh tujuh minit terakhir apabila Barcelona melengkapkan kebangkitan bersejarah dalam kejohanan itu, memenangi agregat 6-5.

    “Apabila anda menang 4-0, kemudian tewas 6-1, ia sukar untuk diterima,” kata presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, yang telah membuat pelaburan berjuta-juta dolar ke atas kelab Perancis itu.

    “Semua orang tahu bahawa suku akhir adalah matlamat dan selepas memenangi perlawanan pertama 4-0, matlamat itu sudah jelas.

    Para pemain Paris Saint-Germain tertunduk kecewa ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Nou Camp. – AFP
    Para pemain Paris Saint-Germain tertunduk kecewa ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Nou Camp. – AFP

    “Ini adalah mimpi ngeri untuk semua orang. adakah Unai Emery masih boleh dipercayai? Ini bukan masanya untuk membincangkan perkara itu. Selepas perlawanan, semua orang kecewa.”

    Emery sementara itu berkata PSG telah dibinasakan oleh keputusan pengadil dari Jerman, Deniz Aytekin, yang telah memberikan Barca dua sepakan penalti, keduanya dalam separuh masa kedua.

    Pemain pertahanan PSG, Thomas Meunier mengecam rakan sepasukannya kerana membiarkan Barca membuli mereka. “Ketika kedudukan 5-1, kami masih layak untuk mara, tetapi kami dibolosi dengan satu gol yang tidak seharusnya terjadi,” katanya.

    “Kami menjadi mangsa dan membiarkan mereka mendominasi kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda