Minat mendalam dorong kuasai seni kraf

KOTA KINABALU – Biarpun bukan daripada keluarga yang mempunyai kemahiran seni menenun, namun Yong Han Huz berpendapat kemahiran itu boleh dipelajari asalkan ada minat mendalam dalam seni berkenaan.

Berkecimpung dalam seni anyaman tenunan asli sejak lima tahun lepas, wanita berusia 26 tahun berketurunan Sino-Dusun itu berkata dia mempelajari seni tenunan di Pusat Kraftangan Sabah di Keningau selama tiga tahun sebelum menjual hasil tenunan selama dua tahun.

Beliau berkata kebanyakan hasil tenunannya bercorak geometri selain tradisional yang menggambarkan suku kaum Rungus kerana minatnya kepada motif daripada pelbagai suku kaum di Sabah.

Berasal dari daerah Keningau, Yong berkata persaingan produk yang dihasilkannya iaitu tenunan songket dastar menyebabkan dia mencuba kelainan dengan menghasilkan tali pinggang dan beg antaranya beg sandang.

“Tali pinggang biasanya saya menggunakan benang metalik dan kapas, dalam tempoh seminggu boleh siap selain itu kain untuk tali pinggang ditenun dan harga pula bergantung kepada motif pada tali pinggang yang dibuat,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Promosi Kraf Malaysia 2021 di sebuah pusat beli-belah di sini.

Muhammad Zulhamizan Amir menggunakan motif abstrak batik pada fabrik baju berasaskan kain kapas di bawah jenama ‘Alawo’ sejak 2017. – Bernama
Yong Han Huz yang berketurunan Sino-Dusun berkata dia mempelajari seni tenunan di Pusat Kraf tangan Sabah di Keningau selama tiga tahun. – Bernama

Mengulas lanjut, Yong yang bakal menimang cahaya mata pertama pada Februari tahun depan berkata dia mampu menyiapkan tiga utas tali beg sehari yang bersaiz 106.68 sentimeter (cm) atau 42 inci dengan lebar 2.54cm hingga 5.08cm (1.5-2.5 inci) dan dijual pada harga RM80 hingga RM100.

Katanya, benang untuk menenun pula mudah didapati di kedai menjual benang malah bagi seutas tali pinggang mahupun tali beg tidak menggunakan banyak benang.

“Saya menghasilkan semua tenunan ini di rumah dan memang ramai berminat dengan tenunan tali pinggang dan tali beg sebab boleh menggantikan tali beg yang lama,” katanya.

Menurut Yong, produk berkenaan turut mendapat permintaan secara dalam talian dari Sarawak selain menjual di Pusat Kraftangan Sabah di bawah jenama ‘Memoryie Craft’.

Sementara itu, seorang lagi peserta promosi kraf Muhammad Zulhamizan Amir pula menggunakan motif abstrak batik pada fabrik baju berasaskan kain kapas di bawah jenama ‘Alawo’ sejak 2017.

Mesra dengan panggilan Ejan, pemuda berusia 27 tahun itu mempelajari seni batik selepas mengikuti pengajian Diploma Seni Kraf Batik di Institut Kraf Negara, Rawang, Selangor selama tiga tahun bermula 2014 kerana minatnya terhadap warisan seni batik.

Berasal dari daerah Kota Kinabalu, Ejan berkata pada peringkat awal, baju-baju itu ditempah dari Semenanjung namun tempoh penghantaran yang agak lama menyebabkan dia mencari pembekal tempatan sekitar Kota Kinabalu.

“Semua baju yang dibeli memang kosong sebelum dicorakkan dengan bentuk dan motif abstrak yang saya reka sendiri dan menggunakan warna remazol,” katanya yang menjual baju-baju berkenaan antara RM40 hingga RM48 sehelai.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata kebanyakan permintaan baju berkenaan daripada mereka yang mahu mengenakan pakaian sedondon pada majlis  sambutan hari keluarga selain mempunyai kelainan kerana baju bercorak batik. – Bernama