Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minat terhadap album, stiker bola sepak masih utuh

    SAN FELICE SUL PANARO, Itali – Keretan akhbar lama yang memaparkan kejayaan sukan-sukan dahulu terlihat terpampang di dinding, manakala almari-almari diisi penuh dengan stiker pemain-pemain bola legenda dan di meja pula, deretan paket-paket asli yang masih belum dibuka: Selamat datang ke rumah Gianni Bellini, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai koleksi album stiker paling banyak di dunia.

    Bellini mempunyai 4,000 album lengkap yang dipenuhi dengan dua juta stiker dan 400,000 lagi masih dalam proses untuk dilekatkan.

    “Setiap hari, selepas saya bekerja dan mengambil cucu saya dari sekolah, saya telah menghabiskan sekurang-kurangnya empat hingga enam jam untuk proses itu,” kata Bellini kepada AFP.

    Beliau seorang jurutipografi, berusia 54 tahun, tinggal di bandar kecil San Felice sul Panaro, sekitar 30 kilometer dari Modena, tempat pembuat atau penghasil stiker terkemuka Panini.

    Dia mula mengumpulkan koleksinya itu pada usianya 13 tahun, sebelum berehat seketika beberapa tahun kemudian, “lebih berminat kepada perempuan” berbanding stiker, jelasnya.

    Bellini membelanjakan 4,000 hingga 5,000 euro setahun pada albumnya yang disimpan dengan penuh teliti pada suhu 23 darjah. – AFP

    Tetapi tidak lama selepas berkahwin pada usia 19 tahun, Bellini cuba mengikuti kembali hobinya itu dan menerbitkan iklan di akhbar-akhbar di seluruh dunia mencari rakan pengumpul yang lain bagi bertukar-tukar album.

    “Saya menerima 600-700 surat sebulan, mengikat tali silaturahim dan persahabatan. Saya masih berkomunikasi dengan kebanyakan mereka sehingga hari ini,” katanya.

    Dan isterinya, Giovanna, yang juga peminat bola sepak, tidak keberatan dengan hobi suaminya itu.

    “Saya menyokongnya dan saya juga merasa gembira. Dengan cara itu dia sering berada di rumah, di mana saya boleh memerhatikannya sepanjang masa. Dia tidak pergi ke bar,” katanya sambil bergurau.

    Setiap hari, Bellini memeriksa produk-produk baharu dalam talian dan mengemaskinikan dengan kira-kira 300 koresponden.

    “Saya menghantar kira-kira 5,000 e-mel setahun,” katanya.

    Seluruh koleksinya juga diarkibkan ke dalam komputernya.

    “Ianya sesuatu perasaan yang luar biasa apabila album tersebut berada di tangan anda,” kata Bellini sambil membuka bungkusan baharu dari Mexico.

    “Tetapi apabila emosi itu berakhir, anda sudah memikirkan album seterusnya.”

    Bellini membelanjakan 4,000 hingga 5,000 euro setahun pada albumnya yang disimpan dengan penuh teliti pada suhu 23 darjah.

    Gianni Bellini bergambar bersama album Piala Dunia Mexico Panini tahun 1970, salah satu koleksi paling jarang ditemui, di studionya di San Felice sul Panaro, Modena. – AFP
    Sebuah buku yang dipanggil ‘Manual untuk pengumpul-pengumpul Panini’ ini terlihat berada di meja Gianni, pemilik koleksi stiker bola sepak terbanyak di dunia, di San Felice sul Panaro, Modena, Itali. – AFP
    Bellini mempunyai 4,000 album lengkap yang dipenuhi dengan dua juta stiker dan 400,000 lagi masih dalam proses untuk dilekatkan. – AFP

    Semua itu bukan untuk dijual kerana “pengumpul sebenar membeli, membuat pertukaran, tetapi tidak menjualnya,” katanya.

    Album Bellini yang paling berharga ialah Piala Dunia 1970 di Mexico: “Album antarabangsa pertama Panini,” katanya dengan merasa bangga.

    Sebaliknya, bayangan album kejuaraan Mesir 1986 masih membuatnya gusar: album itu hilang apabila dia menghantarnya untuk diterjemahkan dan dia hanya menemui satu lagi salinan 20 tahun kemudian.

    Bagi Bellini, album tersebut juga merupakan satu rekod peralihan dalam budaya moden kerana “selama bertahun-tahun, anda akan melihat perubahan gaya rambut, baju dan lain-lain lagi.”

    Kilang Panini di Modena telah menjadi tempat kedua bagi dirinya dan dia membeli album dan stiker terus dari situ.

    Walaupun penerbit dan pengeluar daripada Itali itu hanya mewakili sekitar setengah daripada koleksinya, ada pengeluar lain seperti Topps yang memegang hak cipta untuk Liga Juara-Juara, Bellini menegaskan bahawa Panini adalah ‘yang terbaik.’

    Beliau juga sering mengadakan pameran koleksinya dan terlibat dalam projek untuk membuka muzium di Chiasso, Switzerland, yang dijangka akan dirasmikan pada pertengahan tahun 2019. Bellini berharap bahawa cucunya yang berumur tujuh tahun itu akan berkongsi minat yang sama dengannya, tetapi dia perlu mempelajarinya.

    “Dia mesti faham bahawa dia mesti membeli satu pakej, bertukar-tukar gambar bersama rakan-rakannya. Membuka sesebuah bungkusan atau pakej itu seperti mencari harta karun, anda tidak akan tahu jika anda mempunyai gambar yang dimahukan, itulah apa yang membuatkannya cantik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda