Minat terhadap ikan betta

Oleh Razali Pilus

SEREMBAN – Minat yang mendalam terhadap ikan laga atau dikenali sebagai ikan Betta, mendorong seorang lelaki melepaskan kerjayanya sebagai pensyarah tetap di sebuah universiti swasta di Selangor bagi memenuhi impiannya.

Menyandang jawatan Timbalan Dekan Operasi di Open University Malaysia (OUM) di Shah Alam ketika itu, Dr Safial Eqbal Zakaria, 45, yang menerima gaji ribuan ringgit kini boleh berbangga kerana tindakan nekadnya itu akhirnya berbaloi dengan meraih pendapatan lumayan.

Anak kelahiran Gombak, Selangor itu mula berjinak dengan industri ikan Betta sejak lima tahun lepas dengan permulaan empat ke lima pasang ikan Betta yang dipeliharanya dan kini kian meningkat kepada 20 hingga 40 pasang sebulan.

“Ramai kawan-kawan saya tidak setuju saya berhenti (sebagai pensyarah) sebab gaji pada masa itu berbelas ribu sebulan tapi saya nekad untuk menjadi usahawan ikan Betta yang berjaya. Saya buat keputusan untuk berhenti kerja selepas balik daripada ibadah Umrah pada tahun 2016. Pada saya jika ingin membuat perniagaan kena serius dan berikan tumpuan sepenuh masa.

Dianggarkan terdapat lebih 10 jenis ikan Betta setakat ini antaranya Halfmoon, Halfmoon Plakat, Plakat, Double Tail, Big Ear atau Dumbo, Delta dan Rose Tail.

Safial Eqbal berkata ekoran minat yang mendalam sejak kecil, beliau sanggup berkelana ke Thailand bagi menimba ilmu mengenai teknik menternak, memelihara dan mendapatkan ikan Betta terbaik.

“Peluang mempelajari penternakan dan teknologi ladang ikan Betta terbaik di Thailand itu banyak mempengaruhi saya dan ilmu tersebut saya gunakan untuk dikembangkan industri ikan Betta di Malaysia,” katanya yang menternak ikan Betta di ladang Ukay Betta Farm miliknya di Lenggeng di sini seluas 0.6 hektar selain mempunyai sebuah kedai ikan hiasan di Taman Ukay Perdana, Kuala Lumpur di bawah jenama Ukay Betta Showroom.

Memiliki lima jenis ikan Betta yang dipelihara iaitu Dumbo, Halfmoon plakat, Halfmoon, Double Tail Halfmoon dan Double Tail Plakat, beliau mengakui menternak ikan Betta memerlukan kemahiran dan ia perlu dipelajari. – Bernama

Harga seekor ikan Betta yang kecil, boleh mencecah antara RM200 hingga RM500 bergantung kepada saiz, spesis dan warna. – Bernama
Dr Safial Eqbal Zakaria menunjukkan ikan laga atau dikenali sebagai ikan Betta, yang berjaya memenangi pelbagai kejuaraan dalam pertandingan ikan hiasan ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama