Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minggu Bahasa, Kebudayaan Jepun bermula 17 Feb

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam bersama Japan Foundation dan Times Square akan menganjurkan Minggu Bahasa dan Kebudayaan Jepun dari 17 hingga 19 Februari ini di Pusat Membeli-Belah Times Square.

    Acara berkenaan turut disokong oleh Persatuan Persahabatan Brunei-Jepun Chapter UBD (BJFA-UBD Chapter), Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Institut Pendidikan Teknikal, Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan (IBTE-CET), Kementerian Pendidikan, Japan East-Asia Network bagi Pertukaran Penuntut dan Persatuan Alumni Belia (JENESYS Alumni), Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSYEAP) dan persatuan alumninya (BERSATU).

    Semasa mengumumkan mengenai acara berkenaan pada sidang media di Times Square, hari ini, Setiausaha Pertama dari Seksyen Informasi, Budaya dan Pendidikan, Kedutaan Jepun, Junko Kurihara memberitahu acara tersebut akan memperkenalkan kebudayaan tradisional Jepun serta mendedahkan beberapa tempat menarik untuk tarikan pelancong.

    “Acara itu bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara Brunei dengan Jepun malah untuk mempromosikan Bahasa Jepun dan memberikan peluang kepada penuntut untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Jepun,” ujarnya.

    Junko Kurihara (kiri) bersama Dayang Amal Majidah ketika memperlihatkan kikik buatan Jepun.
    Junko Kurihara (kiri) bersama Dayang Amal Majidah ketika memperlihatkan kikik buatan Jepun.

    Jelasnya lagi, pelbagai acara telah pun disusun sepanjang tiga hari itu antaranya persembahan gendang tradisi Jepun, lukisan Jepun, bengkel pembuatan layang-layang untuk kanak-kanak, bengkel gendang Jepun Taiko, demonstrasi Kendo, pondok pameran bagi permainan tradisi Jepun, masakan Jepun, persembahan Yoyo dan Kendama serta Yukata (pakaian tradisi musim panas Jepun) dengan perkhidmatan bergambar yang disediakan oleh BJFA-UBD Chapter.

    Persembahan gendang tradisi Jepun Taiko akan dipimpin oleh HIBIKIYA Pte Ltd dengan studionya di Singapura menyediakan persembahan dan pembelajaran gendang untuk semua dan telah menjadi platform bagi aktiviti-aktiviti kebudayaan Jepun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda