HANOI, 25 MEI – Minggu filem ASEAN akan diadakan dari 27 Mei hingga 1 Jun di Hanoi dan dari 28 Mei hingga 2 Jun di Ho Chi Minh City sempena meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan ASEAN.
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam pada Selasa berkata acara itu akan dimulakan dengan tayangan filem Vietnam ‘Mat biec’ (Dreamy Eyes) di Pusat Pawagam Negara di Hanoi pada 27 Mei.
Di Ho Chi Minh City, filem itu akan ditayangkan di kompleks CineStar, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Selain Dreamy Eyes, lembaga penganjur turut memilih enam buah lagi filem termasuk Fear dari Kemboja, Filosofi Kopi 2: Ben and Jody (Indonesia), Dearest Sister (Laos), The Journey (Malaysia), The Great Myanmar (Myanmar), dan Pad Thai: The Secret Recipe (Thailand).
Masuk adalah percuma. – Bernama