Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengalu-alukan seramai 1,066 pelajar bagi pengambilan pertama tahun akademik 2022/2023 menerusi Minggu Freshers’ yang bermula hari ini hingga 28 Julai depan.
Pengambilan baharu itu terdiri daripada 731 orang pelajar prasiswazah, 260 pelajar siswazah iaitu 244 pelajar melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan 16 lagi dalam program PhD.
Minggu Freshers’ telah dimulakan dengan ucapan daripada naib canselor UBD dan ikrar pelajar baharu yang telah diadakan di Dewan Utama Dewan Canselor, UBD, hari ini.
Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar dapat memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaiknya demi mencapai kecemerlangan.
“Sebagai sebuah universiti yang pertama di negara ini, UBD mempunyai peranan yang amat besar dalam memperkasa dan memantapkan para pelajar agar menjadi graduan yang berkelulusan, malah mempunyai kemahiran dan nilai kemanusiaan yang tinggi sebaik saja menamatkan pengajian di UBD di samping menjadi alumni yang dibanggakan.
“Adalah diharapkan penglibatan para pelajar dalam pembelajaran dan juga aktiviti kokurikulum akan dapat membangunkan potensi serta meningkatkan kemahiran bagi persediaan masa depan yang lebih mencabar selari dengan misi UBD untuk membentuk pemimpin masa depan yang berdaya saing dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.
Acara kemudian disusuli dengan beberapa taklimat termasuk tentang sistem pengurusan pembelajaran dalam talian yang digunakan oleh UBD, sistem GenNext, pendaftaran modul dan peperiksaan.
Pada sebelah petang, pelajar menyertai orientasi fakulti masing-masing di mana mereka telah diperkenalkan kepada dekan fakulti, timbalan dekan, ketua program, penolong pendaftar dan ahli fakulti.
Minggu Freshers’ yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan sokongan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan sukarelawan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan pelajar baharu kepada perkara berkaitan pengajian mereka dan secara rasmi mengalu-alukan mereka ke alam universiti.