Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minggu Gastronomi dirasmikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Minggu Gastronomi Brunei kini kembali lagi bagi memperkenalkan kepelbagaian masakan tempatan dengan majlis perasmiannya telah diadakan hari ini di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa Minggu Gastronomi Brunei kali ini menumpukan kepada mempromosi makanan yang dibungkus dengan daun pisang, yang mana daun pisang bukan saja digunakan untuk memasak malah ia juga digunakan untuk membungkus makanan dan dalam penyajian pelbagai jenis makanan di kawasan tropika dan subtropika.

    Penggunaan daun pisang ini, tambah beliau, menambah aroma yang enak kepada makanan dan menambah rasa beberapa jenis makanan.

    “Masakan dan makanan Brunei banyak yang dibungkus menggunakan daun pisang seperti pais daging, pais udang, pais ikan dan beberapa makanan lain,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pemenang Minggu Gastronomi 2017 dan juri-juri Minggu Gastronomi 2017.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama peserta yang mengikuti Minggu Gastronomi 2018.

    Beliau seterusnya berharap dan menyeru untuk lebih banyak lagi hotel dan restoran menyajikan makanan Brunei dengan cara lebih sofistikated, di samping memperbaiki lagi rasa dan mengangkat cara penghidangan makanan Brunei supaya dapat disajikan sebagai pengalaman makanan lebih eksklusif semasa majlis resepsi di dalam dan luar negara.

    Minggu Gastronomi Brunei dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun yang mana KSSUP bekerjasama dengan beberapa buah hotel dan restoran di Brunei termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

    Turut ikut serta adalah Restaurant Longhouse Training di bawah Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal.

    Antara hidangan berbalut daun pisang yang disajikan untuk Minggu Gastronomi 2018.

    Di majlis itu, Yang Berhormat Dato turut menyampaikan Anugerah Brunei Gastronomi 2017 kepada Hotel Antarabangsa Rizqun sebagai penerima Anugerah ‘The Best Taste’, The Empire Hotel & Country Club penerima Anugerah ‘The Best Presentation’ manakala Urban Kitchen, penerima Anugerah ‘The Best Innovation’.

    Brunei Hotel dan Royal Brunei Catering (RBC) masing-masing menerima Anugerah ‘The Best Creativity’ dan ‘The Best Wholesomeness’.

    Yang Berhormat Dato turut menyampaikan sijil penghargaan kepada juri Gastronomi Brunei 2017 yang terdiri daripada wakil-wakil Brunei Press Sdn Bhd, CHMP Media, Astera Consultants dan Jabatan Kemajuan Pelancongan.

    Sejurus pelancaran dan penyampaian anugerah itu, Yang Berhormat Dato serta tetamu yang lain berkunjung ke meja-meja peserta Minggu Gastronomi Brunei 2018 untuk melihat lebih dekat lagi makanan Brunei yang dipelbagaikan sekali gus menampakkan ia satu hidangan yang eksklusif dan menarik.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Minggu Gastronomi Brunei 2018 yang diadakan di hotel dan restoran yang menyertainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda