Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Minggu Gastronomi ke-38 dilancarkan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Lembaga Pelancongan Brunei melancarkan Minggu Gastronomi Brunei ke-6 sempena Sambutan Hari Kebangsaan (HK) ke-38 secara maya hari ini.

    Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang turut berucap pada majlis itu.

    Yang Berhormat Dato antara lain menjelaskan sepanjang meniti perjalanan Minggu Gastronomi Brunei selama ini, selain daripada bermatlamat untuk menyerlahkan variasi kulinari yang hebat, beliau berharap untuk menyaksikan lebih banyak lagi penglibatan golongan belia tempatan agar mereka mampu keluar dari zon selesa, mendorong kemampuan masing-masing, dan meneruskan kerjaya mereka dalam industri masakan bukan hanya di persada tanah air bahkan juga peringkat antarabangsa.

    Yang Berhormat Dato menyatakan inisiatif perlaksanaan acara sedemikian bertepatan dengan salah satu objektif strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan, iaitu membangunkan produk pelancongan berasaskan aktiviti di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Oleh itu, acara seperti Minggu Gastronomi Brunei; Festival Disember Brunei; Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei dan Pertunjukan Bunga Brunei, bertujuan untuk menarik pengunjung dan kumpulan minat khas ke Negara Brunei Darussalam; yang akhirnya akan membawa kepada peningkatan dalam ketibaan pelancong yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan, jelasnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menyampaikan penerima anugerah Best Starter dan Best Main Course bagi Minggu Gastronomi Brunei 2021 kepada Hotel Antarabangsa Rizqun.

    Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini, beliau mengingatkan semua peserta Minggu Gastronomi Brunei 2022 untuk memastikan mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Restoran dan penyedia makanan juga diingatkan untuk mengekalkan standard kebersihan dan kualiti makanan yang tertinggi untuk mencegah penularan.

    Dalam kesempatan itu, beliau turut tidak lupa merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para penerima anugerah, hakim-hakim, peserta-peserta dan juga rakan kongsi sejak pelancaran pada 2017 lagi. Selain itu, beliau turut menaruh harapan agar restoran-restoran akan dapat terus menghidangkan dan mempromosikan masakan tempatan dari semasa ke semasa bukan hanya semasa berlangsungnya Minggu Gastronomi Brunei.

    Di samping itu, dengan bertemakan ‘Daun Pandan’ pada tahun ini, Minggu Gastronomi Brunei sememangnya bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap masakan Brunei, menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyediakan cara masakan yang lebih canggih dengan rasa yang dipertingkatkan serta hiasan yang menarik setanding dengan piawaian antarabangsa, menyediakan pengalaman gastronomi istimewa kepada pengunjung di dalam atau luar negara melalui sentuhan hidangan asli masing-masing.

    Pada tahun ini juga, Minggu Gastronomi Brunei akan mengembangkan aktiviti menarik menjurus kepada tiga sub-acara; iaitu Anugerah Gastronomi Brunei, Rasa Brunei kali kedua dan Bengkel Gastronomi Brunei yang buat julung kalinya dimuatkan.

    Sementara itu, sebanyak 12 buah hotel, restoran dan penyedia perkhidmatan makanan telah menyertai Minggu Gastronomi pada tahun ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang Minggu Gastronomi Brunei 2021 dan seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada agensi-agensi yang terlibat.

    Kedua-dua anugerah Best Starter dan Best Main Course dimenangi oleh Hotel Antarabangsa Rizqun sementara anugerah Best Dessert dimenangi oleh Goldiana Cafe and Lounge, Hotel Mulia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...