Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Minggu Gastronomi serlah kehebatan cef muda tanah air

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan KSSUP dan IBTE

    Demi mencapai matlamat untuk menyerlahkan variasi kulinari yang hebat sekali gus menyaksikan lebih banyak penglibatan golongan belia tempatan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengungkayahkan Minggu Gastronomi Brunei dari tahun ke tahun.

    Bertemakan daun pandan

    Minggu Gastronomi Brunei sememangnya bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap masakan Brunei, menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyediakan cara masakan yang lebih canggih dengan rasa yang dipertingkatkan serta hiasan yang menarik setanding dengan piawaian antarabangsa, menyediakan pengalaman gastronomi istimewa kepada pengunjung di dalam atau luar negara melalui sentuhan hidangan asli masing-masing.

    Pada tahun ini, Minggu Gastronomi Brunei ke-6 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-38 telah diadakan bermula 16 Februari sehingga 3 Mac lalu dengan bertemakan ‘Daun Pandan’.

    Sebanyak 12 buah hotel, restoran dan penyedia perkhidmatan makanan telah menyertai Minggu Gastronomi pada tahun ini bagi meraih Anugerah Gastronomi Brunei pada musim ini.

    Ia terdiri daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Hotel Antarabangsa Rizqun, Hotel V Plaza, Hotel Stoneville, Hotel Brunei, Hotel Mulia, Hotel Wafa, Restoran Anjung Saujana, Restoran Dynasty, Eco Ponies Garden, Restoran Nasi Talam Brunei dan The Melting Pot.

    Sebagai salah inisiatif tahunan dalam memartabatkan keunikan variasi sentuhan kulinari Brunei penuh menarik, KSSUP dan Lembaga Pelancongan Brunei telah melancarkan Minggu Gastronomi Brunei ke-6 yang berlangsung secara maya,baru-baru ini, sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-38.
    Cef-cef tempatan sedang menyiapkan sajian semasa acara Taste of Brunei di Hotel Radisson.
    Cef Mark Tai telah diundang untuk berkongsi teknik memasak semasa Bengkel Gastronomi Brunei secara maya itu.

    Serlah kehebatan cef muda tanah air

    Sehubungan itu, Minggu Gastronomi Brunei 2022, Taste of Brunei kali kedua telah mewarnai acara berkenaan dalam usaha mempromosikan tukang masak muda tempatan yang berbakat dalam bidang kulinari,

    Acara yang diungkayahkan antara Hotel Radisson Brunei dan Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP ini telah menerima 60 tempahan menampilkan 10 cef muda tempatan iaitu Muris, U’zaiz, Aziz Mokhsen, JD, Izzat, Dk. Almas, Izaaz, Wiqa, Kahar dan Eileen yang mana telah mempromosikan serta menyajikan masakan tempatan yang diolahkan menjadi masakan bertaraf fine-dining setanding dengan piawaian antarabangsa.

    Antara hidangan istimewa yang disajikan termasuk Tarung Betunu, Reconstructed Congee; Kubah Kerang; Udang Bumbu Kunyit; Kambing Salai Masak Lemak Cili Api; Nasi Lemak Reimagined; Hibiscus dan Chendol Udon.

    Melalui acara tersebut, ianya diharap dapat menarik lebih ramai belia muda tempatan yang berbakat untuk menceburi bidang kulinari dan pada masa yang sama memartabatkan masakan tempatan sebanding dengan masakan-masakan bertaraf antarabangsa.

    Cetus idea seni kulinari anak bangsa

    Sementara itu, demi meningkatkan kreativiti pelajar dan seterusnya mampu melihat ramuan menjadi lebih daripada satu dimensi sahaja, Bengkel Gastronomi Brunei turut dikendalikan oleh KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama IBTE dan Restoran Cloudstreet, Singapura bagi memeriahkan Minggu Gastronomi Brunei pada tahun ini.

    Seramai 17 orang pelajar IBTE dan cef muda menyertai bengkel berkenaan yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom dan difasilitasi oleh IBTE. Ia merupakan satu inisiatif baharu untuk memberikan peluang kepada pelajar masakan dan cef muda yang baru belajar dan meningkatkan lagi kemahiran masakan mereka dengan belajar daripada cef terkenal antarabangsa.

    Cef Mark Tai, yang merupakan penerima Anugerah Cef Muda Michelin-Guide 2021 dari Restoran Cloudstreet telah diundang selaku tenaga pengajar istimewa bagi bengkel tersebut.

    Para peserta berpeluang menyaksikan dan memasak bersama Cef Mark yang menjadikan menu masakan biasa ke tahap yang lebih tinggi.

    Selain itu, di sepanjang bengkel maya, Cef Mark turut berkongsi dengan peserta tentang teknik asas memasak dan kemahiran masakan.

    Dengan adanya bengkel berkenaan, ia secara tidak langsung dapat mencetuskan idea-idea baharu, dan membantu melonjakkan kulinari Brunei lebih jauh menuju ke standard antarabangsa.

    Acara ini disokong oleh Lembaga Pelancongan Brunei, IBTE, Restoran Cloudstreet Singapura, Hotel Radisson, GoMamam, Mc Maju Cold Storage Sdn Bhd, PDS Abbatoir Sdn Bhd, Farmgate Trading, TGT Sdn Bhd, Persatuan Hotel-Hotel Brunei, Persatuan Ejen Pelancongan Brunei, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan media-media tempatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...