Minggu Imunisasi Sedunia 2020

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Bersempena dengan Minggu Imunisasi Sedunia 2020 yang diadakan pada 24 hingga 30 April, Kementerian Kesihatan menekankan mengenai kepentingan imunisasi dalam melindungi masyarakat daripada penyakit-penyakit yang dapat dicegah dengan menggunakan vaksin.

“Dengan tema #VaksinBerkesan untuk Semua (#VaccinesWork for All) pada tahun ini, sambutan Minggu Imunisasi Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan imunisasi sebagai salah satu langkah bagi melindungi orang ramai di semua peringkat umur (yang merangkumi kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas) terhadap penyakit-penyakit yang dapat dicegah oleh vaksin seperti influenza, campak, beguk, rubela dan sebagainya.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, meskipun negara dilanda wabak COVID-19, Kementerian Kesihatan terus menyediakan perkhidmatan imunisasi di pusat-pusat kesihatan di seluruh negara dan menjalankan vaksinasi khususnya kepada anak-anak damit dan golongan warga emas.

“Para ibu bapa dan penjaga disarankan untuk memastikan anak damit mereka mendapat vaksinasi terkini seperti yang dijadualkan,” tegas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad isham.

“Dengan kerjasama kesemua pihak, Insya-Allah Negara Brunei Darussalam akan dapat mengekalkan kadar liputan imunisasi yang tinggi iaitu melebihi 95 peratus yang mana akan mendorong kepada pencapaian wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 ke arah kualiti kehidupan yang tinggi,” tambahnya lagi.