Minggu myanmar di UBD

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Bersempena dengan Hari Kebangsaan Myanmar, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Kedutaan Republik Myanmar di Negara Brunei Darussalam menganjurkan Minggu Myanmar yang bermula hari ini.

Pelancarannya telah diadakan di Simpur Cafe, UBD dan disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn bersama Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Majlis pelancaran itu menandakan permulaan bagi penganjuran pelbagai aktiviti yang disusun dengan harapan mempromosikan persefahaman terhadap sistem pendidikan dan latar belakang kebudayaan Myanmar dalam kalangan masyarakat di UBD.

Pada majlis tersebut, TYT U Htin Lynn juga mengumumkan bahawa pihak kedutaannya akan menyumbang anak pokok jati Myanmar kepada Pusat Penyelidikan Botani UBD.

Pokok jati banyak terdapat di dalam hutan di Myanmar dan merupakan salah satu khazanah negara tersebut.

Menurut kenyataan yang diberikan, sepanjang Minggu Myanmar, Simpur Cafe akan menyajikan makanan autentik Myanmar bagi para pelanggan dan pengunjung yang hadir bermula hari ini kecuali Jumaat dan Sabtu.

Acara juga akan diisikan dengan sesi ceramah oleh TYT U Htin Lynn dengan tajuk Myanmar Today pada 22 Januari ini di Inspiring Hall UBD bagi memperkenalkan sistem pendidikan di Myanmar dan kebudayaan mereka kepada para mahasiswa dan kakitangan UBD.

UBD mempunyai jalinan kerjasama dengan Yangon Institute of Economics, University of Yangon dan University of Madalay menerusi jalinan ASEAN University Network (AUN).

Pada 17 September tahun lalu, UBD turut menerima sumbangan buku daripada Kedutaan Kesatuan Myanmar di Negara Brunei Darussalam sebagai usaha untuk memberikan kefahaman terhadap Myanmar yang merupakan negara anggota ASEAN.

TYT U Htin Lynn dan Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina pada majlis pelancaran Minggu Myanmar di Simpur Cafe, UBD, kelmarin.