Minggu Ta’aruf UNISSA sambut 524 pelajar baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pejabat Pengurusan Akademik dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengadakan Minggu Ta’aruf dalam normal baharu kelmarin.

Seramai 524 pelajar me-nyertai Minggu Ta’aruf tersebut terdiri daripada 405 pelajar sarjana muda dan diploma dan 119 lepasan ijazah. Daripadanya, seramai 53 pelajar antarabangsa turut diterima pada sesi pengajian 2020/21 ini.

Minggu Ta’aruf ini bertujuan memperkenalkan budaya pembelajaran dan mengenai sistem pentadbiran di UNISSA.

Proses pendaftaran bermula dengan pengambilan pek pelajar dan menandatangani dokumen perjanjian serta ikrar pelajar sebagai langkah pencegahan dan pengawalan pandemik COVID-19. Minggu Ta’aruf ini juga berlangsung sehingga 30 Julai melibatkan acara yang diadakan secara dalam talian dan pengisian beberapa akitiviti termasuk forum pelajar dan persidangan mini.

Hadir mengalu-alukan para pelajar baharu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut berucap dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya mengikuti pengajian di UNISSA.

Beliau juga menyentuh mengenai cabaran gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 yang banyak membawa perubahan besar kepada gaya hidup, persekitaran pembelajaran dan cara manusia berfikir. Cabaran yang dibawanya dipercepat dan dirumitkan lagi dengan penularan koronavirus COVID-19 di seluruh dunia yang menuntut perubahan drastik terhadap perkembangan pengajaran dan pembelajaran yang juga dihadapi UNISSA.

Sehubungan itu, beliau berharap pelajar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kerohanian, selain mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu teknologi berkaitan internet benda atau IoT, namun dalam masa yang sama tidak melupakan teras keislaman diunjurkan UNISSA.

UNISSA mengalu-alukan seramai 524 pelajar baharu dengan mengadakan Minggu Ta’aruf dalam normal baharu.