Minggu usahawan dirasmi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Dalam usaha untuk memupuk minat dan minda belia supaya lebih cenderung untuk menerokai bidang keusahawanan, Hujung Minggu Keusahawanan Belia diadakan selama tiga hari bermula hari ini yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Acara yang dianjurkan oleh Excel Event Management dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan memberikan peluang kepada usahawan-usahawan belia untuk mengetengahkan produk mereka serta menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran bidang keusahawanan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara selama tiga hari itu, disertai oleh lebih 20 perusahaan kecil dan sederhana tempatan di mana mereka mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Di samping itu, para usahawan dan bakal usahawan belia juga berpeluang untuk menghadiri sesi nasihat perniagaan di mana ia mengetengahkan penceramah undangan dari pelbagai industri yang menyampaikan ceramah mengenai kemahiran asas perniagaan seperti pemasaran, literasi kewangan, pertumbuhan perniagaan dan pemikiran seorang jutawan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika memberi ucapan sebelum merasmikan Hujung Minggu Keusahawanan Belia di Pusat Belia, di ibu negara. – Gambar oleh Sim Y. H.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Hujung Minggu Keusahawanan Belia di Pusat Belia, kelmarin.

Pada masa yang sama, sesi pembentangan di antara usahawan yang berjaya dan pihak berkepentingan korporat turut diadakan di mana mereka akan berkongsi kisah-kisah kejayaan mereka dengan para jemputan.

Acara itu bukan sahaja bermatlamat untuk menyediakan platform bagi usahawan belia untuk mengetengahkan produk mereka tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai dengan perniagaan mereka khususnya bagi usahawan yang melaksanakan perniagaan dari rumah.

Acara itu juga diserikan dengan pelbagai kegiatan dan aktiviti yang menarik sesuai untuk seisi keluarga termasuk peraduan mewarna, mengeja, pertandingan kereta kawalan jauh dan jualan but kereta.

Sementara itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengambil peluang berkunjung ke Hujung Minggu Keusahawanan Belia yang bermula petang tadi dan berakhir pada 17 Mac ini.