WALAUPUN jasad Jonghyun mungkin sudah tidak bersama SHINee, semangatnya akan terus hidup bersama kumpulan itu.
Sebagaimana anggota kumpulan terbabit yang sentiasa memperingatinya, mereka juga mahu peminat terus sematkan nama mendiang di hati.
Buat rakannya, Minho (gambar) dia nampaknya belum dapat menerima kehilangan Jonghyun dan menunjukkan perasaannya itu di hadapan peminat baru-baru ini.
Tampil membuat persembahan untuk acara SMTOWN 2018 di Osaka, Jepun, SHINee antara artis SM yang turut serta menjayakan festival muzik berprestij itu.
Pada konsert selama tiga hari berkenaan, mereka mempersembahkan lagu hit mereka termasuk Lucifer, Sherlock, Everybody dan Tell Me Your Name.
Ternyata tinggal berempat di atas pentas memberikan aura berbeza baik buat anggotanya mahupun penonton. Ia bagaikan tidak lengkap disebabkan mereka bukan berlima.
Pada penghujung persembahan, Minho mengangkat tangannya sebagai tanda memperingati Jonghyun dan memastikan penonton sentiasa tahu dia akan terus diingati.
Begitu juga sewaktu acara ulang tahun SHINee yang ke-10, Minho turut membuat permintaan itu.
“Saya berharap peminat akan terus mengingati Jonghyun sampai bila-bila,” katanya.
Bukan saja menerusi kata-kata, Minho juga menzahirkan rasa rindunya terhadap Jonghyun dengan pelbagai aksi supaya dia terus diingati.
Antaranya, dia meniru aksi yang sudah sebati dengan Jonghyun.
Bahkan, dia juga memutuskan untuk memakai peranti telinga milik mendiang dalam setiap persembahannya.
Tindakannya itu benar-benar menyentuh hati ramai terutama peminat. Mereka juga semakin sayang dan berjanji menyokong kumpulan legenda Korea Selatan itu sampai bila-bila.