MINI Rosewood Edition kini di Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – MINI Rosewood Edition, kereta urban yang canggih dalam pakej kompak, kini boleh didapati di Brunei dengan hanya 10 unit dibawa masuk ke negara ini.

Pelancaran kereta berkenaan bagi pasaran Brunei telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo dan Pengurus Jualan MINI Brunei, Felda Wong pada majlis yang berlangsung di Bilik Pameran MINI, di Kompleks Mabohai, hari ini.

MINI Rosewood Edition tersedia secara eksklusif dalam varian tiga pintu dan lima pintu yang mana model edisi khas tersebut menambahkan lagi kecanggihan hatchback klasik dengan warna luaran eksklusif yang digandingkan dengan aksen segar.

Edisi berkenaan terdapat dalam satu warna eksklusif, Indian Summer Red yang sebelumnya hanya terdapat pada MINI Clubman terbaharu. Bersesuaian dengan warna badannya yang cerah, bumbung dan cermin sayap dicat dengan warna Jet Black (hitam).

Untuk sentuhan kecanggihan, elemen seperti lampu depan dan trim lampu belakang, jeriji, pemegang pintu, dan lencana MINI dicat dalam warna Piano Black.

Hadirin tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat MINI Rosewood Edition yang dilancarkan, malam tadi.
Albert Lau, Alisa Khoo dan Felda Wong melancarkan MINI Rosewood Edition.

Skim warna yang menggoda pada edisi khas itu ditekankan lagi dengan motif Rosewood yang unik, dilapisi Jet Black di bahagian luarnya.

Motif tersebut boleh didapati di sisi scuttles setiap panel yang dihasilkan melalui percetakan 3D dan teknologi laser yang canggih untuk memastikan kualiti luar biasa dengan bentuk yang tepat.

Ia juga dilengkapkan dengan roda aloi ringan 17 inci Cosmos Spoke dengan tayar runflat.

Bagi memadankan warna bumbung dan cermin sayap, roda tersebut terdapat dalam warna Jet Black sebagai warna standard.

Dengan pelancaran berkenaan, orang ramai kini berpeluang untuk menguji pandu dan melihat lebih dekat MINI Rosewood Edition selama dua hari bermula esok di Bilik Pameran MINI, Kompleks Mabohai.