Mini Sukaneka Hari Keluarga PB pamer bakat, kebolehan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Hari Keluarga Politeknik Brunei (PB) sempena Karnival Konvokesyen PB ke-5 telah diadakan di Padang Sultan Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PB, acara yang mengetengahkan Mini Sukaneka Hari Keluarga menyasarkan semua pensyarah dan pelajar PB serta Hari Usahawan yang menyasarkan pelajar-pelajar.

Kenyataan menjelaskan, Mini Sukaneka memberi peluang kepada semua warga PB menyertai sukan olahraga dan aktiviti sekali gus mempamerkan kebolehan dan bakat mereka.

Selain itu juga untuk menyahut pengamalan ke arah gaya hidup sihat dengan menerapkan minat bersukan dan membina sifat jasmani dan sosial.

Sementara itu, Hari Usahawan pula diadakan untuk menggalakkan para pelajar melakukan aktiviti penjualan dengan sokongan PB yang memberikan seed money sebagai modal pelajar menjalankan aktiviti jualan.

Antara aktiviti yang memeriahkan Mini Sukaneka Hari Keluarga PB.

Kenyataan menyatakan, hasil jualan tersebut, pelajar mengembalikan seed money dan 5 peratus keuntungan kepada PB. Hari Usahawan dijadikan sebagai satu start up bagi para pelajar dalam menggalakkan mereka minat dan idea dalam menceburi bidang perniagaan.

PB Entreprise turut terlibat dalam acara itu dan bertindak sebagai orang tengah untuk menjualkan makanan daripada vendor-vendor di bawah kendalian PB Enterprise.

Sebanyak 13 petak (pasukan yang terdiri daripada pelajar-pelajar PB) telah menyertai Hari Usahawan.

Hari Keluarga yang dianjurkan oleh CSDI dan peserta-peserta di bawah Program Event Management yang diberi nama Kumpulan Ohana itu berobjektif untuk menyemai budaya minat dan memupuk semangat kerjasama dan interaksi yang sihat dalam kalangan peserta.

Selain itu, untuk menggalakkan peserta supaya aktif dan produktif, mengeratkan silaturahim dalam kalangan para pensyarah, pegawai dan kakitangan bersama pelajar-pelajar serta memberi peluang dan mengajar para pelajar ke arah keusahawanan.