Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Minions: The Rise of Gru dominasi carta Box Office

    WASHINGTON – Seisi keluarga bakal terhibur dengan filem Minions pada hujung minggu ini di pawagam-pawagam seluruh Amerika Syarikat dan Kanada.

    Minions: The Rise of Gru mengutip AS$108.5 juta dalam jualan tiket dari 4,391 panggung wayang di Amerika Utara, menurut kenyataan daripada Universal Pictures pada Ahad.

    Pada cuti Hari Kemerdekaan 4 Julai semalam, kemungkinan ia akan memperoleh hasil kutipan lebih daripada AS$127.9 juta.

    Filem itu bakal menjadi salah satu tayangan terbesar pernah dicatat sempena hujung minggu cuti 4 Julai, rekod yang sebelum ini dipegang oleh Transformers: Dark of the Moon yang meraih pendapatan AS$115.9 juta dalam empat hari pertama pada 2011.

    Termasuk tayangan antarabangsa, di mana Minions: The Rise of Gru disiarkan di 61 pasaran, pendapatan kasarnya di seluruh dunia mencecah AS$202.2 juta sehingga Ahad lalu.

    Gambar serahan Universal Pictures menunjukkan watak Stuart, Gru dan Kevin dalam adegan filem ‘Minions: The Rise of Gru’. – AP
    Watak Stuart the Minion dalam salah satu adegan ‘Minions; The Rise of Gru.’ – AP
    Aksi dalam filem Top Gun Maverick. – Agensi
    Filem Elvis menduduki tangga ketiga. -Agensi

    “Ia merupakan tayangan pertama yang sungguh mengagumkan,” kata Jim Orr, presiden pengedaran filem domestik Universal. “Filem itu ditayangkan secara meluas di seluruh Amerika Utara. Setiap pasaran mencatat hasil yang amat baik.”

    Ia hanya filem terbaharu dalam beberapa siri kejayaan untuk tayangan filem genre keluarga Universal, termasuk Sing 2, yang telah meraih pendapatan kasar berjumlah AS$406 juta sejak dibuka pada Disember, dan The Bad Guys, yang mencatat lebih daripada AS$243 juta. Minions: The Rise of Gru membuktikan penonton yang terdiri daripada keluarga sudah bersedia untuk kembali semula ke pawagam.

    “Keluarga berasa amat selesa membawa semua anak mereka ke panggung wayang,” kata Orr. “Hasilnya sudah jelas dengan sendirinya.”

    Filem Minions 2 sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat, malah golongan paling muda. Menurut tinjauan PostTrak, 12 peratus di antara mereka berusia di bawah 10 tahun.

    “Selama berbulan-bulan, timbulnya idea di mana penonton keluarga tidak akan kembali ke pawagam. Kami akan membuktikannya tidak benar,” kata Paul Dergarabedian, penganalisis kanan media untuk Comscore.

    Minions: The Rise of Gru merupakan susulan daripada siri filem popular ‘Despicable Me’ yang ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik.

    Sekuel filem Minions tahun 2015 pada asalnya dijangka ditayangkan pada Julai 2020. Sementara kebanyakan filem keluarga animasi lain memilih untuk disiarkan secara penstriman atau hibrid, Minions, seperti filem Top Gun: Maverick, tetap mencatat prestasi yang memberangsangkan dan menunggu untuk masa yang sesuai untuk dilancarkan di pawagam sahaja.

    Begitu juga dengan Top Gun, penantian tersebut adalah berbaloi dan membuahkan hasil.

    “Ia menjadi satu peristiwa bersejarah. Ia adalah cuti hujung minggu, tarikh tayangan adalah amat baik, pemasaran juga berjalan lancar,” kata Dergarabedian. “Dan semua orang tahu filem berkenaan hanya akan ditayangkan di pawagam sahaja.”

    Pelakon yang menjadi latar suara untuk watak dalam filem termasuk Steve Carell, mengisi suara Gru, manakala Alan Arkin, Michelle Yeoh dan Julie Andrews sebagai ibu Gru. Pengkritik memberikan reaksi bercampur dan positif (buat masa sekarang ia mempunyai 72 peratus oleh Rotten Tomatoes) tetapi penonton berasa lebih teruja, berdasarkan kisah asal Gru diberi pemeringkatan A oleh CinemaScore.

    Universal dan Illumination menikmati kejayaan besar dengan lima filem Despicable Me dan filem susulan, yang disiarkan sejak 2010 dan telah meraih lebih daripada AS$3.7 juta pada box office global.

    Menduduki tempat kedua dalam senarai carta box office ialah Top Gun: Maverick,’yang terus meraih pendapatan lumayan enam minggu selepas ditayangkan, menambah AS$25.5 juta kepada pendapatan keseluruhannya, yang telah pun melebihi AS$1 bilion. Filem The Paramount Pictures masih ditayangkan di 3,843 lokasi.

    Selain itu, filem terbitan Warner Bros ‘Elvis’ menduduki tangga ketiga, hanya merosot 39 peratus dalam hujung minggu kedua di pawagam. Filem Baz Luhrmann memperoleh kira-kira AS$19 juta sehingga Ahad, membawa jumlah keseluruhan kepada AS$67.3 juta.

    Tempat keempat dan kelima dimenangi filem Universal selain Jurassic World: Dominion yang mencatat AS$15.7 juta tambahan dan filem seram The Black Phone menambah AS$12.3 juta setakat Ahad.

    Manakala filem Disney Lightyear pula merosot dalam hujung minggu ketiga dengan AS$6.5 juta. Menjelang Isnin, jumlah tersebut harus meningkat kepada $8.1 juta sekali gus membawa pendapatan keseluruhannya kepada AS$106.9 juta.

    Bleecker Street menyiarkan Mr Malcolm’s List pada hujung minggu ini di 1,384 layar perak di AS dan Kanada. Filem genre komedi itu membintangi Freida Pinto dan Zawe Ashton sebagai sahabat baik yang ingin membalas balik perbuatan seorang lelaki bujang yang cerewet.

    Studio itu menganggarkan filem tersebut akan meraih AS$851,853 pada hujung Ahad dan lebih daripada AS$1 juta pada Isnin.

    Penonton juga masih menonton Everything Everywhere All At Once keluaran studio A24, yang menambah lagi anggaran hasil berjumlah AS$552,000 daripada 607 pawagam, meskipun ia juga boleh disewa apabila diminta oleh penonton. Judul terbaharu studio, Marcel the Shell With Shoes On, dilanjutkan kepada 22 pawagam pada hujung minggu ini dan dijangka mencatat AS$308,000 pada Isnin.

    Menurut Comscore, hujung minggu pada keseluruhannya akan menjadi salah satu era pandemik terbesar. Dan momentum tersebut dijangka diteruskan dengan tayangan filem Marvel Thor: Love and Thunder pada minggu depan. – AP

    Carta Box Office Mingguan

    1. Minions: The Rise of Gru, AS$108.5 juta
    2. Top Gun: Maverick, AS$25.5 juta
    3. Elvis, AS$19 juta
    4. Jurassic World: Dominion, AS$15.7 juta
    5. The Black Phone, AS$12.3 juta
    6. Lightyear, AS$6.6 juta
    7. Mr Malcolm’s List, AS$851,853
    8. Everything Everywhere All at Once, AS$551,974
    9. Doctor Strange in the Multiverse of Madness, AS$390,000
    10. JugJugg Jeeyo, AS$318,000

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...