Minta bantuan ahli nujum untuk jawapan koronavirus

NEW YORK, 11 JUN – Bilakah vaksin akan diperoleh? Haruskah saya berpindah untuk mengelak gelombang kedua jangkitan? Adakah saya akan mendapat kerja lain? Warga Amerika yang bergelut dengan pergolakan berpunca daripada krisis koronavirus sedang beralih kepada ahli nujum untuk jawapan mengenai masa depan yang tidak pasti.

Ahli nujum dan pembaca kad di Amerika Syarikat (AS) melaporkan peningkatan dalam perniagaan disebabkan COVID-19 apabila orang mendapatkan khidmat nasihat untuk kehidupan mereka yang terganggu di tengah wabak yang melanda negara.

Michele Bell, 54, menghubungi ahli nujum di New York Jenny Lynch selepas virus membunuh ibunya pada April.

Bell telah menghabiskan tujuh tahun menjaga ibunya dan kini tidak tahu apa yang dilakukan dengan hidupnya.

Selepas mengkaji carta Bell berdasarkan tarikh, masa dan lokasi kelahirannya, Lynch memberitahu horoskop Bell mencadangkan 2021 akan menjadi masa yang baik untuk mencapai impiannya untuk tinggal di luar negara.

Hampir 30 peratus daripada warga Amerika percaya pergerakan bintang dan planet memberikan kesan ke atas kehidupan manusia, menurut tinjauan Pusat Penyelidikan Pew 2017.

Warga Amerika menghabiskan AS$2.2 bilion ke atas ‘perkhidmatan psikik’ pada 2018, menurut firma penyelidikan pasaran IBISWorld. – AFP