Minum cecair pencuci akibat tertekan

SANDAKAN, 10 Okt – Disebabkan perselisihan faham dengan ibunya, seorang gadis bertindak meminum cecair pencuci dalam satu insiden di Program Perumahan Rakyat Batu 12 dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Duchess of Kent di sini mengenai gadis berumur 20an itu yang dibawa ke bahagian Kecemasan hospital itu pada kira-kira pukul 9.50 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila gadis itu ditegur ibunya, supaya lebih menghormati keluarga teman lelakinya yang datang dari Sarawak.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini katanya gadis itu merasa amat tertekan, lalu bertindak meminum kira-kira 20ml cecair pencuci, dan ibu bapanya terus membawanya ke Hospital Duchess of Kent selepas gadis itu mengadu sakit perut dan muntah-muntah. – Bernama