Minuman bertoksik ragut 11 nyawa

PHNOM PENH, 19 MEI – Seramai 11 penduduk kampung di wilayah Kandal selatan Kemboja maut selepas meminum minuman keras bertoksik buatan tempatan yang didapati mengandungi kadar metanol yang tinggi, lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurut ketua jabatan kesihatan wilayah itu, Kuoy Bunthoeun hari ini, kejadian itu berlaku di kampung Ta Skor di komuniti Sarika Keo daerah Lvea Em 10 Mei lalu.

“Sampel minuman itu kemudian diuji di makmal Institut Kesihatan Umum di Phnom Penh dan hasil ujian mendapati minuman tersebut mengandung kadar metanol yang tinggi,” katanya.

Kandungan metanol dalam minuman itu melebihi jumlah dibenarkan iaitu 0.15 peratus.

Katanya, pihak jabatan telah meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan menutup semua kilang penyulingan dan kedai menjual minuman tersebut di daerah ini untuk mengelak lebih banyak kematian. Sementara itu, ketua daerah Lvea Em Kan Sokkay berkata pihak berkuasa telah merampas minuman tersebut yang dijual oleh kira-kira 20 gerai di daerah ini dan menasihati penjual berhenti menjualnya buat sementara waktu.

Pada November, di wilayah Kampong Chhnang tujuh orang maut akibat meminum minuman keras yang memiliki metanol yang tinggi. – Bernama