SINGAPURA, 21 APRIL – Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat semula ke atas paras sifar hari ini, selepas ditutup dalam wilayah negatif buat pertama kali semalam berikutan COVID-19 mencetuskan kejatuhan dalam permin-taan, menyebabkan dunia berada dalam lebihan bekalan.
Kontrak penanda aras minyak AS, West Texas Intermediate bagi penghantaran Mei berada pada paras AS$1.67 setong selepas ditutup -AS$37.63 di New York.
Ia disebabkan ruang tidak mencukupi untuk menyimpan minyak di tengah-tengah lebihan semasa, yang bermaksud terdapat sedikit pembeli bagi komoditi berkenaan.
Kontrak WTI Mei berakhir hari ini, dan kontrak bagi penghantaran Jun kini didagangkan secara lebih aktif.
Ia mencatat kenaikan sederhana hari ini setelah jatuh teruk sehari sebelumnya, meningkat ke paras lebih AS$21 setong.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, berubah kepada AS$25.40 setong untuk penghantaran Jun, turun 0.16 peratus.
Walaupun industri sering mengalami pasang surut pasaran semasa krisis virus, penganalisis Trifecta Consultants Sukrit Vijayakar menggambarkannya sebagai ‘salah satu hari perdagangan yang paling luar biasa dalam sejarah mana-mana komoditi.”
Pasaran minyak telah jatuh dalam beberapa minggu terakhir selepas perintah berkurung, sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan bagi menangani krisis koronavirus di seluruh dunia.
Krisis ini menjadi lebih teruk lagi di-sebabkan oleh perang harga antara Arab Saudi dan Rusia. Riyadh dan Moscow menarik perhatian dalam perselisihan itu dan bersama dengan pengeluar utama lain, membuat perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran hampir 10 juta tong sehari awal bulan ini.
Tetapi harga terus turun kerana penganalisis mengatakan pemotongan itu tidak mencukupi, dan kerana kemudahan penyimpanan mencapai kapasiti maksimum. – AFP