Minyak didagang sedikit tinggi selepas seminggu

SINGAPURA, 24 APRIL – Harga minyak Amerika Syarikat (AS) melonjak naik hari ini dan menuju penamat positif selepas minggu yang suram, menyaksikan harga turun di bawah sifar, ketika pengurangan pengeluaran dan ketegangan di antara AS dan Iran menjejaskan pasaran yang dilanda COVID-19.

Minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Jun meningkat 8.1 peratus berjumlah AS$17.85 dalam dagangan Asia hari ini, setelah berakhir 20 peratus lebih tinggi dalam dagangan kelmarin.

Brent pada bulan Jun bernilai AS$22.55 setong, meningkat sebanyak 5.7 peratus.

Harga minyak telah terjejas teruk akibat COVID-19 dan penutupan serta sekatan perjalanan, dengan minyak mentah AS jatuh kepada negatif untuk pertama kalinya pada Isnin kerana ruang penyimpanan hampir tiada.

Awal bulan ini, kumpulan pengeksport OPEC dan rakan-rakannya sepakat untuk mengurangkan pengeluaran hampir 10 juta tong sehari dari bulan Mei untuk merangsang pasaran, sehingga berakhirnya perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia.

Tangki rizab minyak kelihatan di Navajo Refining Artesia, New Mexico. Harga minyak AS melonjak pada 24 April dan menuju penamat positif setelah minggu yang suram, menyaksikan harga minyak di bawah sifar. -AFP

ANZ mengatakan terdapat tanda-tanda bahawa pengluar minyak telah mula mengurangkan pengeluaran, bagi membantu menaikkan harga.

“Kuwait mengatakan bahawa ia sudah mula mengurangkan pengeluaran menjelang awal perjanjian pembekalan OPEC yang dirancang pada 1 Mei.

Algeria juga memberitahu OPEC bahawa ia akan segera mengurangkannya,” kata bank itu dalam satu catatan.

Terdapat juga tanda-tanda bahawa pengeluaran AS mulai turun. Pentadbiran Mak-lumat Tenaga mengatakan pengeluaran minyak mentah AS turun sedikit kepada 12.2 juta tong sehari minggu lalu.

Selain itu, ketegangan di Timur Tengah yang kaya minyak mentah memberi dorongan kepada pasaran.

Setelah Presiden Donald Trump mengarahkan Tentera Laut AS memusnahkan mana-mana kapal Iran yang mengganggu kapal Amerika di Teluk, Pengawal Revolusi Republik Islam itu memberi amaran tindak balas yang tegas.

Teluk adalah pintu masuk utama minyak untuk sampai ke pasaran antarabangsa, dan ketegangan meningkat AS dan Iran biasanya mendorong harga lebih tinggi.

Walaupun harga stabil, harganya masih rendah dalam tahun ini dan penganalisis mengatakan permintaan perlu meningkat untuk memastikan ia benar-benar pulih. – AFP