Minyak sawit Malaysia tetap jadi pilihan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kalangan pedagang Jepun terbukti masih menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan mereka berdasarkan faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain kepentingan peranan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor berkata minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

“Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020. Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai, 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia. – Bernama