Minyak sawit tembusi Jepun 2020

JASIN, 14 JULAI – Minyak sawit keluaran negara yang memiliki pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) berupaya memasuki pasaran Jepun khususnya menjelang penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata ini kerana Jepun sebuah negara maju yang mengiktiraf pensijilan itu selain negara yang mementingkan kelestarian dalam pelbagai aspek kehidupan mereka serta merupakan rakan dagang utama negara.

Katanya minyak sawit Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan rakan dagang di Jepun kerana faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain miliki pensijilan MSPO.

“Seperti kita sedia maklum, Jepun hanya akan membeli minyak sawit yang ada pensijilan MSPO sahaja bagi menampung keperluan atlet khususnya menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan mereka adalah pasaran yang baik untuk industri sawit negara.

“Selain itu, temasya sukan yang menjadi tumpuan pelbagai negara dari seluruh dunia itu merupakan satu platform terbaik untuk mempromosi minyak sawit keluaran negara sekali gus membidas serangan atau naratif songsang yang dilemparkan terhadap industri sawit negara sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Melaka di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia Chew Jit Seng. – Bernama