Minyak zaitun Algeria diiktiraf di mata dunia

AIN OUSSERA, ALGERIA – Hakim Alileche meninggalkan kerjaya yang berjaya dalam bidang reka grafik dan berpindah ke kawasan desa Algeria untuk menghasilkan ‘ubat jampi’ – minyak zaitun organik yang telah memberinya pengiktirafan antarabangsa.

Lelaki berusia 48 tahun itu berkata dia memilih dataran Ain Ouseera disebabkan tanahnya yang murah dan bekalan air yang banyak.

Minyak zaitunnya memenangi hadiah pertama pada Pertandingan Minyak Zaitun Dubai dalam kategori Extra Virgin Early Harvest pada Februari 2021 dan pada Mei dia memenangi pingat perak untuk Hadiah Minyak Zaitun Jepun.

“Pengiktirafan berkenaan benar-benar memberi jaminan kepada kami kerana ia bermakna kami memang betul,” katanya.

Ladang seluas 40 hektar itu mempunyai lebih 15,000 pokok zaitun, dan setakat ini 9,000 telah mula membuahkan hasil.

“Saya mula menanam zaitun sedikit demi sedikit pada 2005. Saya suka pertanian dan saya menang gemar pokok zaitun sejak saya masih kecil lagi,” katanya.

“Di Algeria, ia merupakan pokok suci.”

“Menghasilkan minyak zaitun organik ‘memberikan saya dalam mood untuk menghormati dan melindungi planet,” ujarnya.

Dia telah mengunjungi beberapa negara pengeluaran zaitun lain – Bosnia-Herzegovina, Greece, Perancis dan Itali untuk mempelajari kaedah penghasilan.

“Pokok-pokok berkenaan tidak pernah mengalami sebarang rawatan kimia dan saya akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kaedah itu,” katanya, sambil menggenggam segelas minyak yang baru dikeluarkan.

“Ia benar-benar makanan dan ubat,” katanya, sambil menghirup cecair harum itu sebelum keluar untuk menyelia pekerja memetik buah zaitun di dusun.

Seperti setiap tahun sejak menceburi pengeluaran minyak zaitun, Alileche memetik buah zaitun awal, di sebuah negara di mana hasil petikan tidak bermula sehingga pertengahan November.

“Hasil petikan awal membenarkan awda menikmati kesemua faedah zaitun, kesemua antioksidan semula jadi,” katanya. – AFP

Pekerja memetik zaitun di dusun Hakim Alileche di Ain Oussera di wilayah Djelfa, selatan ibu negara Algeria. – AFP
Hakim Alileche memeriksa zaitun di kilang di Ain Oussera di wilayah Djelfa, selatan Algeria. – AFP