Mira Filzah siap sedia bina mahligai

Tiada lagi rahsia! Pelakon Mira Filzah mendedahkan hatinya kini sudah dimiliki seorang jejaka dan merancang untuk membina mahligai perkahwinan tidak lama lagi.

Mira bagaimanapun berkata, dia masih belum bersedia untuk berkongsi maklumat lanjut mengenai hari bahagianya itu.

“Status sekarang saya tunangan orang. Insya-Allah apa sahaja nanti media akan dijemput. Kita ada wakil yang akan melakukan semua itu.

“Persiapan sekarang tengah berjalan, berapa peratus tu saya tak boleh untuk kongsi apa-apa lagi kerana masih di peringkat awal.

“Saya dah bersedia. Kalau sudah ada semuanya kita akan beritahu dan pasti akan mengundang media,” katanya.

Mira Filzah mendedahkan dia suda bersedia untuk mendirikan rumah tangga namun enggan mendedahkan mengenai identiti tunangnya. – Agensi

Mira berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

Pada April lalu, Mira Filzah mengesahkan kedua-dua belah keluarga telah bertemu bagi membincangkan mengenai hubungan mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Mira ketika bersiaran langsung dalam program bual bicara santai bersama Ustazah Asma’ Harun di laman Facebook pendakwah itu.

Sebelum itu, beberapa blog hiburan melaporkan mengenai gosip kononnya Mira sudah dirisik dan bakal berkahwin pada Oktober depan.

Lebih menguatkan spekulasi apabila tersebar foto Mira bersama seorang jejaka dikenali sebagai Wan Emir iaitu anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.

Sementara itu, pengacara program Nona ini berkata dia lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka mengenai kehidupan peribadi.

Namun, dia tidak akan berahsia mengenai perkahwinan apabila semuanya sudah pasti. – Agensi